LEBIH 30 pendaki yang sakit telah dikeluarkan dari kaki Everest sekali gus menimbulkan kebimbangan Covid-19 mungkin membantutkan musim pendakian di puncak tertinggi dunia itu.
Industri pelancongan Nepal mendapat tamparan dahsyat tahun lalu ketika pandemik menyebabkan puncak Everest ditutup sepenuhnya, langsung mengakibatkan kerugian tinggi.
Tahun ini pihak berkuasa telah melendurkan peraturan kuarantin dalam usaha menarik pengembara asing selain telah pun mengeluarkan permit pendakian kepada lebih 400 orang, satu rekod baharu.
Permit Everest sahaja berharga AS$11,000 malah pendaki membayar lebih dari AS$40,000 untuk keseluruhan ekspedisi.
Namun dengan cuaca sedikit panas yang mengundang keadaan lebih selamat bertepatan pula dengan gelombang kedua jangkitan Covid-19, dengan kes aktif di Nepal meningkat enam kali ganda dalam dua minggu terakhir.
Pendaki Norway Erlend Ness menghabiskan dua malam tidur di khemahnya di kem markas kaki gunung bulan lalu, dengan tidak mengetahui kenapa beliau sakit.
“Saya dibawa ke Kathmandu dan disaring. Saya didapati positif Covid-19,” katanya kepada AFP, menjadi pendaki pertama dengan permit Everest.
“Saya rasa bukan saya seorang sahaja… Setiap pasukan di markas tahu risiko Covid-19 itu ada malah mereka perlu berjaga-jaga, mereka kena berhati-hati,” katanya.
Rakan pendaki Gina Marie Han-Lee memutuskan untuk meninggalkan ekspedisinya minggu lalu kerana bimbang virus itu merebak di sekitar markas.
“Saya naik helikopter dari EBC (kem markas Everest) kembali ke Kathmandu setelah 1 hari. Situasi Covid-19 di EBC sangat menggila. Saya tak tahu mana saya tuju,” tulis warga AS itu di laman Facebooknya pada 29 April.
“Ini adalah keputusan yang menyedihkan tetapi saya tetap perlu utamakan kesihatan saya. Covid-19 di altitud tinggi bukan sesuatu yang saya nak cuba-cuba.” – AFP, 7 Mei, 2021.
Komen