SEKUMPULAN 80 pemilik restoran memulakan petisyen rayuan kepada perdana menteri dan ketua pengarah kesihatan untuk membenarkan pelanggan makan di premis semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula di enam daerah Selangor semalam dan di Kuala Lumpur hari ini.
Petisyen di change.org dimulakan oleh Edward Soo, pemilik beberapa restoran di kawasan Bangsar, termasuk Opus dan Cava.
Mereka merayu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi keizinan makan di restoran kerana perniagaan mereka tidak sesuai untuk konsep “bungkus”.
“Tidak seperti gerai penjaja, restoran makanan segera dan kedai lain yang serupa, restoran kami tidak sesuai dengan model bagi perkhidmatan penghantaran atau bungkus.
“Sepanjang dua PKP yang lalu, penjualan kami turun hingga 90%, dan kami mengalami kerugian yang luar biasa.”
Disebabkan kerugian perniagaan, kumpulan itu berkata beberapa restoran perlu melaksanakan pemotongan gaji, menanggung hutang, dan mungkin terpaksa menutup restoran jika keadaan tidak berubah.
Walaupun mereka memahami keperluan mengekang pandemik, kumpulan itu berkata seluruh industri tidak boleh dihukum disebabkan ada pemilik degil yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Mereka menambah restoran hanya menyumbang 0.31% kluster Covid-19 sejak Februari tahun lalu hingga April 2021.
“Daripada 314 kluster Covid-19 yang dilaporkan di seluruh negara dari 22 Februari hingga 2 April lalu, kilang sebanyak 38.54% kluster, penularan komuniti (15.29%), tapak pembinaan (8.6%), kawasan pendidikan (7.96%), kawasan membeli-belah (7.01%).
“Restoran hanya 0.96% kluster (atau 0.31% daripada jumlah sumbangan kes Covid daripada kluster).
“Berdasarkan statistik di atas, jelas yang membenarkan makan di restoran hanya memberi kesan yang sangat kecil kepada penyebaran Covid-19.”
Petisyen yang dimulakan dua jam lalu setakat ini berjaya mengumpulkan 532 tandatangan pada pukul 10.04 pagi. Ia mensasarkan mengumpul 1,000 tandatangan. – 7 Mei, 2021.
Komen