Putrajaya disaran perluas daftar sukarela vaksin lain


APHM berkata langkah itu sangat membantu individu yang perlu membuat perjalanan ke luar negara dan barisan hadapan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2021.

PUTRAJAYA disaran membuka pendaftaran secara sukarela kepada vaksin Covid-19 selain AstraZeneca, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata langkah itu sangat membantu individu yang perlu membuat perjalanan ke luar negara dan barisan hadapan ekonomi, lebih-lebih lagi apabila beberapa varian baharu Covid-19 dikesan dalam penularan tempatan.

“Cadangan vaksinasi ad hoc dari masa ke masa boleh diurus oleh hospital swasta berdasarkan temu janji MySejahtera.

“Ia boleh dikawal selia secara ketat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) berdasarkan stok yang ada tanpa menafikan akses kumpulan rentan lain,” kata Dr Kuljit dalam kenyataan hari ini.

AstraZeneca ditawar secara sukarela selepas JKJAV mendapati seramai 8,000 individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut membatalkan pendaftaran masing-masing.

Keraguan terhadap vaksin itu timbul selepas beberapa negara melaporkan kes pembekuan darah yang jarang  berlaku dalam kalangan penerima.

Kesemua 286,000 dos AstraZeneca bagi fasa pertama habis ditempah dalam masa tiga jam sebaik pendaftaran secara sukarela dibuka pada Ahad lalu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin semalam berkata tawaran vaksin AstraZeneca secara sukarela juga akan diberikan kepada negeri-negeri dalam zon merah. – 7 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen