PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran gelombang baharu jangkitan Covid-19 di Afrika susulan kelewatan bekalan vaksin, pemberian vaksin yang perlahan dan varian baharu.
Agensi PBB, biro di Afrika berkata benua itu perlu menyegerakan pemberian vaksin agar seiring negara lain di dunia.
“Kelewatan pemberian dos vaksin daripada Institut Serum India yang diperuntukkan bagi Afrika, penangguhan penghantaran vaksin dan kemunculan varian baharu menunjukkan risiko gelombang jangkitan baharu masih sangat tinggi di Afrika,” katanya kata dalam satu kenyataan.
Ia berkata varian baharu seperti yang muncul di India dan Afrika Selatan akan menyebabkan “gelombang ketiga” di benua itu.
“Tragedi di India tidak sepatutnya berlaku di Afrika, tetapi kita semua perlu waspada,” kata Pengarah Serantau WHO, Matshidiso Moeti.
“Walaupun kami menggesa ekuiti vaksin, Afrika juga harus berusaha dan memanfaatkan sebaik mungkin dengan apa yang dimiliki. Kita mesti memastikan vaksin yang ada diberikan kepada orang ramai.”
Beliau menambahkan hanya kurang “separuh daripada 37 juta dos yang diterima di Afrika diberikan kepada orang ramai setakat ini”.
Afrika kini hanya menyumbang 1% daripada dos vaksin di seluruh dunia, kata WHO - menurun dari 2% beberapa minggu lalu, ketika pemberian vaksin di rantau lain bergerak lebih pantas.
Penghantaran vaksin pertama ke 41 negara Afrika di bawah skim Covax bermula pada Mac tetapi setakat ini hanya sembilan negara memberikan satu perempat daripada dos yang diterima, sementara 15 negara menggunakan kurang daripada separuh peruntukannya.
Kadar vaksinasi di Afrika adalah yang terendah di dunia. Di seluruh dunia, rata-rata 150 dos vaksin bagi setiap 1,000 orang divaksinasi, tetapi di Afrika hampir 8 dos bagi 1,000 orang, menurut WHO. – AFP, 7 Mei, 2021.
Komen