Tangani misogini melalui pendidikan, reformasi budaya, kata aktivis


Chan Kok Leong

Sekolah perlu memperkenalkan silabus saling menghormati jantina untuk mendidik pelajar bagi mengatasi budaya yang membenarkan jenaka mengenai rogol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2021.

MISOGINI atau sindrom kebencian terhadap wanita hanya dapat diatasi melalui pendidikan dan reformasi budaya, kata aktivis sususlan berita mengenai guru lelaki membuat jenaka rogol di kelas dan keterangan pelajar perempuan mengenai pemeriksaan kedatangan haid di sekolah.

“Sekolah perlu memperkenalkan silabus saling menghormati jantina untuk mendidik pelajar bagi mengatasi budaya yang membenarkan jenaka mengenai rogol,” kata bekas pengarah eksekutif Organisasi Bantuan Wanita Ivy Josiah.

Beliau adalah penceramah forum dalam talian “Rape Jokes – Are we anywhere nearer to gender equality?” malam tadi, anjuran Democracy Academy of Malaysia dan Sisters in Islam (SIS).

Ivy berkata walaupun jenaka rogol tidak semestinya berubah menjadi tindakan ganas, mereka tetap mengekalkan budaya misogini.

“Satu daripada masalah yang kita hadapi adalah lelaki dibesarkan untuk percaya yang mereka berhak mengawal orang lain dan bersikap agresif.

“Mereka diajar yang seks adalah persaingan dan bahkan budaya ini menggalakkan anak lelaki keluar dan melakukan lebih banyak seks untuk membuktikan kejantanan mereka.

“Kejantanan toksik ini (diajarkan) melalui budaya pop dan rumah. Sekolah adalah tempat yang baik untuk mencabar kejantanan toksik ini,” kata Ivy.

Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Mohd Isa berkata Malaysia juga perlu menangani isu polis moral ini.

Beliau berkata ia juga sama seperti pemeriksaan paksa kedatangan haid terhadap pelajar perempuan, sama seperti bagaimana orang Islam yang ditangkap makan di khalayak ramai di bulan puasa dikenakan hukuman atau dimalukan.

“Pemeriksaan kedatangan haid di sekolah baru-baru ini, yang merupakan pelanggaran hak gadis, adalah contoh kita membenarkan tindakan polis moral oleh pihak berkuasa dan orang ramai.

“Dalam konteks Malaysia, ia sudah keterlaluan dan beberapa orang berasa ia menjadi hak mereka menyatakannya dan membetulkan orang lain.

“Masyarakat kita perlu menolak dan memastikan mereka ini tahu yang mereka tidak boleh mengawal orang lain mengenai cara mengamalkan agama mereka,” kata Rozana.

Isu gender di sekolah di Malaysia baru-baru ini muncul apabila terdapat pelajar perempuan Islam dilakukan pemeriksaan kedatangan haid secara paksa.

Isu lain yang menjadi tajuk utama muncul selepas seorang pelajar berusia 17 tahun, Ain Husniza Saiful Nizam menyiarkan video TikTok beliau berkata seorang guru lelaki di sekolahnya membuat jenaka rogol semasa di kelas.

Selepas pendedahan mengenai guru itu di media sosial, rakan sekelas lelaki pula membuat ugutan rogol terhadapnya. Ain Husniza membuat laporan polis mengenai kedua-dua kejadian tersebut.

Sejak itu, Ain Husniza berkata beberapa individu menuduhnya sengaja membesarkan isu, dan tiada tindakan diambil terhadap guru berkenaan oleh sekolah dan pihak pendidikan.

Kedua-dua isu tersebut mencetuskan perdebatan di seluruh negara mengenai pendidikan seks, misogini dan keganasan seksual di Malaysia, di mana subjek tersebut sering dianggap tabu. – 7 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen