SETIAUSAHA politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap editor Sarawak Report dan dua pemilik akaun Facebook berhubung kenyataan fitnah.
Syed Hamzah Syed Paie berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan atas artikel yang mendakwa syarikat Azzahra Product Sdn Bhd milik isterinya menerima geran RM338,950 dari Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) di bawah Medac.
Tindakan sama juga diambil ke atas dua pemilik akaun Facebook “Jap Zainal” dan “Pemasang Sarawak Baru”. Laporan polis juga dibuat terhadap dua pemilik akaun berkenaan kerana menyebarkan berita palsu, kata Syed Hamzah.
Jelasnya, geran SME Corp kepada Azzahra Product diluluskan pada 2017, iaitu sebelum Wan Junaidi dilantik sebagai menteri pada 22 April tahun lalu.
“Bagaimana mungkin saya dan YB Dato Sri Wan Junaidi terlibat dengan kelulusan geran SME Corp pada empat tahun yang lepas sedangkan kami baru sahaja berkhidmat di Medac pada 2020?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Hamzah juga berkata Sarawak Report tersalah fakta menulis beliau sebagai pemilik Azzahra Product.
“Saya telah meletak jawatan saya sebagai pengarah syarikat dan melupuskan saham saya di dalam Azzahra Product Sdn Bhd pada 23 November 2015, ini bermakna saya sudah tidak memiliki apa-apa saham dan kepentingan di dalam syarikat tersebut semenjak 2015 sehinggalah sekarang.”
Tambahnya, Azzahra Product menghantar permohonan geran kepada SME Corp pada 2016.
“Fakta ini bertentangan dengan dakwaan yang dibuat oleh Sarawak Report dan dua pemilik akaun Facebook yang secara semborono dan ganas telah menuduh Datuk Sri Wan Junaidi dan beliau terlibat dengan kelulusan geran kepada svarikat milik isteri saya,” jelasnya. – 6 Mei, 2021.
Komen