MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan memfailkan semakan kehakiman warga Nigeria, Simon Momoh, kata peguamnya V. Vemal Arasan.
“Kebenaran membuat semakan kehakiman dibenarkan hari ini. Tiada bantahan daripada responden,” kata Arasan kepada The Malaysian Insight.
“Jabatan Imigresen juga memberikan surat rasmi melanjutkan pas Momoh hingga prosiding kes ini selesai.”
Bulan lalu, Hakim Wan Ahmad Farid memerintahkan Jabatan Imigresen mengeluarkan surat rasmi kepada Momoh, melanjutkan pas khas untuk beliau kekal di Malaysia hingga kes itu selesai.
Momoh diwakili Arasan dan James Joshua Paulraj. Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Liyana Muhammad Fuad (Pejabat Peguam Negara) bertindak bagi pihak responden.
Mahkamah menetapkan 1 Jun untuk pengurusan kes.
Pada Mac, Momoh ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Cheras kerana disyaki mabuk ketika memandu.
Dia mengaku bersalah atas tuduhan itu dan membayar denda RM12,000.
Namun dia kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 35 Akta Imigresen 1959 yang membenarkan pihak berkuasa menahannya tidak lebih 30 hari.
Dia ditahan di pusat tahanan di Semenyih sepanjang bulan lepas.
Pada 14 April, isterinya Low Kar Wai menerima emel daripada Jabatan Imigresen untuk memintanya menguruskan penerbangan membawa Momoh pulang ke Nigeria.
Dia juga dimaklumkan bahawa pas lawatan sosial yang sah sehingga 14 Oktober 2022, dibatalkan.
Dia kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 April.
Dalam permohonan itu, dia mohon membatalkan keputusan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud untuk membatalkan visa dan menghantarnya pulang ke negara asal. – 6 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen