Dilanda gelombang ke-3 Covid-19, Mesir batal sambutan Aidilfitri


Mesir mencatatkan hampir 232,000 kes positif Covid-19 termasuk lebih 13,000 kematian. – Gambar EPA, 6 Mei, 2021.

MESIR pada Rabu mengumumkan penutupan sebahagian daripada pusat membeli-belah dan restoran serta membatalkan sambutan Aidilfitri bagi membendung kes koronavirus yang semakin meningkat.

Penutupan kafe, pusat membeli-belah dan restoran dari jam 9 malam akan berkuat kuasa mulai Khamis hingga 21 Mei.

Perdana Menteri Mostafa Madbouli berkata Mesir berada dalam “gelombang ketiga” pandemik Covid-19, mendesak rakyat mematuhi garis panduan kesihatan dan mendaftar untuk vaksinasi.

Mesir, negara Arab paling ramai penduduk, mencatatkan hampir 232,000 kes positif termasuk lebih 13,000 kematian.

“Anda mempunyai tanggungjawab bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga keluarga,” katanya.

“Kita berada di tahap kritikal,” katanya.

Kerajaan berkata cuti Aidilfitri akan berlangsung dari 12 hingga 16 Mei.

Madbouli berkata pantai, taman dan kemudahan rekreasi akan ditutup sepenuhnya semasa cuti lima hari itu.

Tiada konsert atau majlis besar seperti perkahwinan, katanya.

Para jemaah dibenarkan menunaikan solat Aidilfitri di masjid tertentu di mana solat Jumaat setiap minggu diadakan.

Madbouli berkata kira-kira 1.7 juta orang didenda dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana tidak memakai pelitup muka dan ratusan ribu shishas dirampas dari kafe.

Mesir bakal menerima sejumlah 4.9 juta dos vaksin koronavirus pada Mei, menurut Kabinet. – AFP, 6 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen