PRESIDEN Jair Bolsonaro semalam berkata koronavirus mungkin dibuat di makmal untuk melancarkan “perang biologi”, dalam komen terbaru yang mungkin akan menjadikan hubungan Brazil dengan China tegang.
“Ini virus baharu. Tiada siapa tahu sama ada ia dihasilkan di makmal atau kerana manusia memakan haiwan yang tidak sepatutnya,” kata pemimpin berhaluan kanan itu.
“Tetapi tentera tahu semua tentang perang kimia, biologi dan radiologi. Mungkinkah kita sedang melawan perang baharu? Saya tertanya-tanya. Negara mana yang keluaran dalam negara kasarnya yang paling banyak berkembang?”
Beliau tidak menyebut nama China, tetapi negara di mana wabak itu bermula adalah satu-satunya ekonomi G20 yang berkembang tahun lalu, mencatat pengembangan 2.3%.
Bolsonaro dan golongan dalamannya mempunyai sejarah memberi komen panas terhadap China yang kadang-kala memperburuk hubungan dengan rakan dagang terbesar Brazil itu.
Pada Mac, presiden menggantikan bekas menteri luar Ernesto Araujo, yang mengecam “Maoist China” dan pelan “penguasaan dunia”, dengan diplomat kerjaya Carlos Franca.
Langkah itu dilihat bertujuan untuk memperbaiki hubungan.
Teori Covid-19 muncul di makmal virologi di bandar Wuhan adalah subjek yang sensitif bagi China - tetapi sering digunakan penyokong setia Bolsonaro dan bekas presiden AS Donald Trump.
China membuat penafian keras berhubung teori tersebut.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia memutuskan pada Mac bahawa “sangat tidak mungkin” virus itu berasal dari makmal.
Namun, pakar WHO berkata mereka menghadapi kesukaran untuk mengakses data mentah ketika mengunjungi Wuhan.
Bolsonaro berdepan kritikan dan bahkan siasatan Senat berhubung responsnya terhadap Covid-19, yang meragut lebih 400,000 nyawa di Brazil.
Beliau mengecam langkah pencegahan tidak keluar rumah oleh pihak berkuasa tempatan, mengancam akan mengeluarkan keputusan yang melindungi hak rakyat.
Bolsonaro tidak mempedulikan gesaan pakar untuk langkah sekatan peringkat negara, dengan alasan kerosakan ekonomi akan lebih buruk daripada virus itu sendiri.
Tetapi Mahkamah Agung Brazil memberikan hak kepada negeri dan pihak berkuasa tempatan menerapkan polisi tersebut. – AFP, 6 Mei, 2021.
Komen