Limpahan pembangunan tak terasa, kata warga Kuala Nerus


Diyana Ibrahim

Penduduk Seberang Takir mendakwa pembinaan jambatan angkat bernilai RM248 juta di Kuala Terengganu tidak dapat menikmati kepesatan pembangunan pusat bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2021.

RUNGUTAN penduduk Kuala Nerus yang tertekan akibat kesan pandemik memberi pentanda mengenai sikap pengundi dalam menentukan nasib PAS di kawasan Parlimen tersebut.

Biarpun daerah Kuala Nerus hanya terletak bersetentang dengan pusat bandar Kuala Terengganu, limpahan pembangunan itu tidak dirasai, keluh para penduduk.

Warga Kuala Nerus memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak dapat merasa tempias dari kepesatan pembangunan pusat bandar terutama apabila jambatan angkat RM248 juta siap dibina.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Faisal, 32, berkata mereka memerlukan pembangunan untuk merancakkan ekonomi dan memulihkan sektor pelancongan.

Tambahan pula, golongan peniaga sepertinya terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19, katanya yang tinggal di Kampung Tepoh.

“Manfaatnya hanya cepatlah nak ke bandar. Dulu betullah memang jauh, tapi setakat itu saja manfaat yang penduduk dapat.

“Sama juga masa nak bina Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Itu pun dulu dicanangkan penduduk akan dapat manfaat tapi tidak berlaku juga.

“Pembangunan itu terlalu perlahan,” kata peniaga itu ketika ditemui The Malaysian Insight.

Seorang lagi penduduk, Alias Ismail turut meluahkan kekecewaan kerana pentadbiran kerajaan PAS didakwa kurang memberi bantuan kepada penduduk.

Alias, 56, yang tinggal di Seberang Takir berkata kekecewaan itu tidak hanya dirasainya seorang tapi majoriti penduduk kawasan itu.

Malah mereka juga tidak banyak menerima bantuan dari ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Razali, katanya.

“Kalau bantuan itu banyak lagi masa zaman Umnolah, sekarang ini kerajaan negeri tak bagi banyak bantuan. Kalau ahli Parlimen pun tak tahulah nak cakap macam mana.

“Kalau kami di sini tak nampak apalah.

“Maksudnya pembangunan di Kuala Nerus ini tak nampak apa padahal beliau ahli Parlimen ada banyak peruntukan, tambah timbalan menteri lagi,” katanya.

Penduduk Seberang Takir Alias Ismail meluahkan kekecewaan apabila mendakwa Kuala Nerus tersisih daripada pembangunan. – 6 Mei, 2021.

Tambahnya lagi, apa yang lebih mengejutkan apabila penduduk diminta untuk menderma bagi membina ruang parkir di masjid baru Seberang Takir.

“Bila ada masjid kena ada tempat parking sampai hari ini masjid awal tahun siap tak ada tempat parking

“Tapi (kena) minta derma untuk rakyat buat parkir. Patut guna peruntukan dari kerajaan negeri tapi buat pengumuman dalam masjid minta bantuan.

“Pelik sebab nak buat ruang parkir perlukan dana besar kenapa tak guna peruntukan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga percaya kemenangan PAS di kerusi itu dalam pilihan raya umum 2018 hanya disebabkan undi boikot dari penyokong Umno sendiri.

“Punca kekalahan itu banyak sebab, antaranya sebab pengaruh isu nasional, masa itu memang rakyat marah pada Najib Razak isu 1Malaysia Development Berhad.

“Lepas itu kalau di Terengganu sendiri pun rakyat marah sebab isu bekas menteri besar Ahmad Razif Abdul Rahman yang banyak pilih kroni sendiri untuk jadi calon.

“Padahal ramai yang layak. Jadi pengundi Umno sendiri yang protes,” katanya ketika ditemui di daerah itu.

Daerah dihuni 220,000 orang itu terletak setentang dengan Kuala Terengganu dan kedua-duanya dipisahkan dengan kuala Sungai Terengganu.

Ia merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bukit Tunggal, Tepuh, Teluk Pasu dan Seberang Takir

Majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan dan menjual hasil laut, kakitangan awam serta tenaga profesional di bandar perindustrian Gong Badak dan bandar universiti.

Antaranya ia menempatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, cawangan Universiti Terbuka Malaysia serta Institut Teknologi Petronas.

Selain itu, beberapa kem pasukan keselamatan juga menyumbang kepada jumlah kakitangan awam yang besar di daerah itu.

Dalam PRU14 PAS berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Nerus dan kesemua DUN tersebut kecuali Seberang Takir  yang masih menjadi kubu bekas menteri besar Ahmad Razif.

Khairuddin ketika itu mengekalkan Kuala Nerus dengan perbezaan 8,447 undi menewaskan calon Barisan Nasional, lebih besar berbanding majoriti 610 undi dalam PRU13.

Di Seberang Takir, Razif mengekalkan kerusi itu dengan majoriti tipis 1,884 undi selepas mencatat prestasi serupa dalam PRU13.

Ketua Bahagian Umno Kuala Nerus Apli Yusoff berkata parti itu kini belajar dari kesilapan lepas dalam usaha merampas semula kerusi parlimen dan tiga Dun kawasan itu.

Ulasnya, Umno kalah semasa pilihan raya lepas kerana dilingkari dengan isu dalaman parti pusat dan negeri selain tempias isu nasional.

“Ketika itu (kerajaan) pusat ada isu, negeri pun ada isu, calon pun ada isu masalah penerimaan akar umbi parti.

“Sebab itu kita cuba nak kurangkan masalah dalaman kita cari calon yang boleh diterima ramai  boleh diterima peringkat akar dan tengok penerimaan masyarakat,” katanya.

Beliau memberi contoh senarai calon Umno bagi PRU15 yang dipilih tanpa mengambil kira pandangan akar umbi bagi memastikan calon itu diterima semua golongan.

“Biasanya kita mula dengan jawatankuasa yang cadang nama dan kemudian kita buat kajian maklum balas di peringkat akar umbi.

“Sekarang ini 60% kita dah jumpa ketua cawangan tanya calon mana yang mereka pilih,” kata ketua bahagian itu yang pernah mengalahkan Razif dalam pemilihan Umno lepas.

Ditanya sama ada Umno yakin untuk merampas semua kerusi itu, Apli berkata rakyat boleh menilai prestasi parti itu sepanjang empat tahun mentadbir kerajaan negeri.

“Negeri Terengganu kaya kita ada duit ihsan Petronas tapi tak urus dengan betul rugi. Rakyat tengok dalam masa empat tahun apa dibuat, tak ada,

“Jambatan angkat, masjid Seberang Takir ini semua (dibina) masa zaman BN,” katanya.

PAS yakin tembusi Seberang Takir

Penyelaras DUN Kuala Nerus Mohd Fazil pula yakin PAS dapat menembusi kerusi kubu Umno itu kerana menguasai kerajaan negeri dan sebahagian kerajaan Perikatan Nasional.

“Kalau dulu kita bertanding kalah, tapi sekarang kita dalam kerajaan pusat, kita ada kekuatan itu,” katanya yang juga merupakan bekas calon Seberang Takir dalam pilihan raya lepas.

Ditanya mengenai kegagalan PAS menembusi DUN Seberang Takir jawabnya disebabkan kawasan itu merupakan kubu kuat Umno diketuai menteri besar dan juga kerana undi pos.

Jelasnya DUN Seberang Takir mempunyai ramai pengundi pos, kira-kira 3,000 orang dari kem tentera dan Pasukan Gerakan Am yang menjadi antara faktor PAS gagal menembusi kawasan itu.

“Pengalaman pilihan raya 1999 undi masa itu kita menang dalam 500 undi tapi bila kita terima undi pos kita kalah 1,500 undi.

“Tapi tak semestinya begitu dulu kita bukan kerajaan pusat tapi sekarang kita dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional jadi mungkin ada peluang untuk menang,” katanya.

Mengulas mengenai kekecewaan penduduk yang tidak banyak menerima bantuan, Mohd Fazil berkata dakwaan itu tidak benar kerana PAS sangat giat memberi bantuan kepada rakyat.

Bantuan itu banyak diberikan terutama kepada warga terkesan dengan pandemik Covid-19, namun mungkin ada kes rakyat yang tercicir untuk mendapatkan bantuan, katanya.

“Saya nafikan mana kata tak dapat bantuan, PAS memang sangat jaga kebajikan.

“Dan kita ada peruntukan. Di Seberang Takir ini Adunnya BN jadi beliau memang dah diberi peruntukan dan untuk PAS kita pun beri juga,” katanya. – 6 Mei, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen