Tiada bazar Ramadan di kawasan PKP Selangor mulai Sabtu, kata MB


Alfian Z.M. Tahir

Bazar Ramadan di kawasan PKP di Selangr ditutup mulai Sabtu ini bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2021.

TIDAK akan ada lagi bazar Ramadan di daerah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor mulai Sabtu ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin juga mengumumkan bahawa makan di restoran dan buffet di hotel juga tidak dibenarkan di negeri ini mulai esok.

Bagaimanapun restoran masih dapat beroperasi antara jam 6 pagi dan tengah malam untuk perkhidmatan bawa pulang.

Amirudin berkata keputusan itu dibuat hari ini oleh Majlis Keselamatan Selangor selepas menyedari peningkatan kes baharu Covid-19 yang berkaitan dengan bazar Ramadan.

“Tidak akan ada lagi bazar Ramadan mulai Sabtu (8 Mei). Peniaga masih mempunyai dua hari untuk mengosongkan apa yang perlu.

“Keputusan ini tidak kejam. Tinggal lima hari sebelum Hari Raya dan secara keseluruhan, peniaga sudah diberi 25 hari. 

“Terdapat banyak kes di Selangor yang berkaitan dengan bazar Ramadan, oleh itu kita bersetuju menutup bazar,” katanya.

Amirudin juga mengumumkan bahawa negeri ini akan memberi ganti rugi kepada 11,000 peniaga berlesen yang memohon permit bazar Ramadan. 

“Kita mempunyai rekod mereka dan masing-masing akan diberi ganti rugi sebanyak RM500. Kita harap itu dapat membantu mereka menanggung kerugian.

“Negeri akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM5 juta bagi membantu kesemua 11,000 peniaga yang terjejas,” katanya.

Sementara itu untuk pasar malam atau pasar raya, Amirudin berkata peniaga masih boleh beroperasi tetapi harus mematuhi prosedur yang ketat.

“Jika sebelum ini tidak ada kapasiti terhad, kali ini akan ada. Sekiranya satu premis boleh memuatkan 100 orang, hanya 50 orang yang dibenarkan memasuki premis dalam satu masa. Itu bergantung pada ukuran premis atau bangunan tetapi hanya separuh yang boleh masuk,” katanya.

Ini bertepatan dengan PKP yang dikenakan di enam daerah di Selangor mulai esok sehingga 17 Mei bagi mengekang wabak Covid-19.

Enam daerah tersebut adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Tiga daerah lain di Selangor iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih di bawah PKP bersyarat. – 5 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen