Sekolah di Selangor tutup atau tidak, soal wakil rakyat Pakatan


KPM perlu umum segera sama ada sekolah di Selangor, yang dikenakan PKP bermula esok, akan ditutup serta merta sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri bermula, kata wakil rakyat PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2021.

AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sama ada sekolah di Selangor akan ditutup serta merta atau akan ada sesi pembelajaran sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri bermula.

Enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 17 Mei.

“KPM perlu buat pengumuman segera kerana sekolah sedang mengadakan peperiksaan pertengahan tahun.

“Pengumuman awal akan membolehkan sekolah mengubah jadual peperiksaan dan mengekalkan focus pelajar,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka berkata ibu bapa juga perlu merancang untuk menguruskan keluarga atau mendapatkan penjaga anak jika sekolah ditutup.

Wakil rakyat PH juga mahu tahu usaha yang dilakukan untuk pelajar di asrama yang sedang menunggu untuk dapat pulang ke rumah masing-masing.

Keadaan itu masih tidak jelas, kata mereka.

“Adakah ibu bapa diberikan pengecualian untuk rentas daerah atau negeri bagi mengambil anak dari asrama kerana PKP dikuatkuasakan pada musim perayaan,” kata mereka.

Sehubungan itu, jawatankuasa pendidikan PH mencadangkan sekolah memberikan surat kepada ibu bapa sebagai bukti untuk menjemput anak pulang.

Dengan surat itu, mereka tidak perlu meminta permit perjalanan dari balai polis.

Jawatankuasa itu juga menggesa kementerian supaya lebih proaktif dalam memberi perkembangan terkini bagi mengurangkan beban ibu bapa dan guru.

Kenyataan media itu ditandatangani bekas menteri pendidikan dan ketua Jawatankuasa Pendidikan PH Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching (DAP) dan Ahli Parlimen Tampin Dr Hasan Baharom (Amanah).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijangka mengadakan sidang akhbar pada 4 petang ini, memberikan perincian SOP PKP. – 5 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen