PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal berkuatkuasa esok di enam daerah di Selangor umpama “pintu Abu Nawas” kerana mudah dibolosi, kata bekas menteri Shabery Cheek.
Bekas menteri penerangan itu merujuk kawalan di enam daerah Selangor di sekeliling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak dikenakan perintah sama.
“Pintu Abu Nawas bermaksud pintu pagar yang hebat dan berkunci dengan mangga yang besar, tetapi pagarnya tidak ada. Mudah bolos sekiranya tak melalui pintunya.
“Pintu pagar tak berpagar memberi mesej humor: ‘Tertutup tapi terbuka, terbuka tapi tertutup’.
“Orang Selangor bersempadanan KL mudah memahaminya apabila PKP Selangor dilaksanakan nanti,” kata pemimpin Umno itu dalam kenyataan di Facebook.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan PKP akan berkuatkuasa di Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang sehingga 17 Mei.
Katanya, ia dibuat atas cadangan kerajaan negeri Selangor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diputuskan setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Covid-19.
Kawalan itu melarang perjalanan merentas daerah dan negeri di enam daerah tersebut kecuali bagi kes kecemasan dan tujuan pekerjaan.
PKP bagaimanapun tidak dikuatkuasa di Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah kluster daerah tersebut.
Kuala Lumpur yang merangkumi empat daerah – Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras mencatat jumlah 4,050 kes sepanjang 14 hari lalu.
Di antara enam daerah yang bakal dikenakan PKP, Petaling paling tinggi dengan 4,463 kes diikuti Hulu Langat (2,596), Gombak (1,091), Kuala Langat (822) dan Sepang (453).
Tiga daerah lain di Selangor – Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
PKP juga pada masa ini berkuatkuasa di seluruh jajahan di Kelantan sehingga 17 Mei ekoran peningkatas semula kes Covid-19 secara mendadak di negeri itu. – 5 Mei, 2021.
Komen