WALAUPUN disingkirkan sebagai pengerusi Umno Perlis kerana pendirian yang berbeza daripada parti, Shahidan Kassim masih bertegas dengan pendapatnya Umno patut bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Lebih baik kekal bersama. Jika kita bersama, kita bukan saja akan menang 100% (kerusi ditandingi), malah mungkin beberapa kerusi yang tidak ditandingi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menyamakan kerjasama Umno dengan PN, yang diketuai Bersatu serta PAS, seperti ketika Barisan Nasional (BN)-Umno menang di Perlis pada PRU sebelum ini.
“Formula bagaimana kita selalu menang di Perlis sangat mudah. Kita berkawan dengan musuh. Jadi, kita akhirnya dapat lebih ramai kawan,” kata ahli Parlimen Arau itu.
Shahidan selama ini menjadi orang kuat Umno di Perlis selama bertahun-tahun memegang kerusi Parlimen Arau dari 1986 hingga 1995, sebelum bertanding kerusi DUN dan dilantik menjadi ketua menteri hingga 2008.
Beliau bertanding sekali lagi di Arau pada PRU 2013 dan berjaya mengekalkan kemenangan di situ pada PRU 2018.
Bagaimanapun pada masa ini beliau bertentangan dengan kepimpinan Umno berhubung keputusan dicapai pada perhimpunan agung parti 28 Mac, untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, serta Anwar Ibrahim atau DAP pada PRU15.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata Umno akan bertanding atas tiket BN dan menggunakan logo “dacing”.
Bersatu ialah parti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan walaupun lebih kecil berbanding Umno, ia mengetuai gabungan kerajaan persekutuan.

Ketika hubungan antara Umno dan Bersatu agak tawar sejak tahun lalu dan cakap-cakap tentang Umno menarik balik sokongan daripada kerajaan PN semakin tegang, Shahidan berulang kali berkata Umno sepatutnya mengekalkan kerjasama politiknya dengan Bersatu.
Bulan lalu, Umno menyingkirkan beliau daripada jawatan pengerusi Umno Perlis, jawatan yang dipegangnya sejak ketika menjadi menteri besar, dan beliau kemudian digantikan serta merta oleh Menteri Besar Perlis Azlan Man.
Perlis adalah kubu kuat BN selama berdekad tetapi parti Pakatan Harapan, PKR berjaya menembusinya kali pertama pada PRU13 menerusi kemenangan kerusi DUN Indera Kayangan.
Pada PRU 2018, BN mengekalkan kuasa di negeri itu, tetapi dengan kekurangan lima kerusi. Tiga kerusi dimenangi PKR dan dua kepada PAS, di mana Umno kemudian membentuk pakatan Muafakat Nasional.
Pada 2018 juta, BN tewas satu daripada tiga kerusi Parlimen Perlis iaitu Kangar – dimenangi PKR.
Matlamat Umno Perlis ialah menawan kembali kerusi yang tewas kepada PKR, tetapi kepimpinan nasional Umno tidak mahu bantuan Bersatu, sementara Shahidan, dilihat oleh akar umbi sebagai individu yang boleh menyatukan Umno dengan Bersatu dan PAS, kini tidak lagi mengetuai parti di negeri itu.
Ketua Pemuda Umno Padang Besar Noor Hairi Noor Mohammed berkata Umno sepatutnya meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan PAS, kerana apabila tiga parti Melayu Islam itu bersama, ia akan menjadi kuat.
“Jika Shahidan tidak ada pada PRU15, Umno Perlis pada masa itu mungkin kalah pada PRU akan datang, kerana PAS dan Bersatu lebih selesa bekerjasama dengan beliau.”
Hairi berkata Umno dan PAS mungkin boleh mengawal Perlis, tetapi Bersatu akan memberikan “nilai tambah”.
Berpandangan berbeza, Ketua Pemuda Umno Arau Atif Syed Abu Bakar berkata mereka tidak perlukan Bersatu pada PRU15.
“PAS ada kekuatan dan jika mereka menyertai gabungan BN, maka kita akan kuat. Tetapi bukan Bersatu.
“Kita tidak pernah hilang Perlis pada PRU sebelum ini, malah sebelum ketika ada Shahidan. Kita menang majoriti dua pertiga di bawah kepimpinan sebelum ini.
“Jadi tidak kira siapa yang meneraju, Umno Perlis akan dapat majoriti dua pertiga (tanpa bantuan Bersatu),” katanya. – 6 Mei, 2021.
Komen