Rakyat Kanada tidak boleh pilih vaksin, kata Trudeau


Perdana Menteri Justin Trudeau berkata kesan akibat jangkitan Covid-19 lebih dahsyat berbanding kesan sampingan vaksin yang amat jarang berlaku.– Gambar AFP, 5 Mei, 2021.

PERDANA Menteri Justin Trudeau semalam berkata rakyat Kanada tidak harus memilih vaksin Covid-19, sekali gus menolak cadangan sekumpulan doktor supaya vaksin dikategorikan mengikut tahap keselamatan.

Trudeau menegaskan setiap vaksin yang diperolehi di negara itu telah diperakui selamat oleh jabatan kesihatan Kanada.

“Cadangan pakar perubatan dan doktor dalam usaha memastikan keselamatan dialu-alukan. Namun, perlu ditegaskan semua orang perlu divaksin dengan segera supaya kehidupan kembali normal.

“Hakikatnya, kita perlu melawan pandemik ini dengan menerima apa sahaja vaksin yang ada,” katanya pada sidang media semalam.

Trudeau dan isterinya menerima suntikan dos pertama AstraZeneca bulan lalu, sebagai usaha meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa vaksin tersebut selamat.

“Secara peribadi, saya gembira diberi vaksin AstraZeneca beberapa minggu lalu. Saya perlu melindungi keluarga dan orang-orang yang saya sayang.

“Kesan jangkitan Covid-19 lebih dahsyat dan kita sudah lihat sendiri kesannya di seluruh negara, berbanding kesan sampingan vaksin ini yang amat jarang berlaku,” katanya Trudeau.

Isnin lalu, Jawatankuasa Penasihat Nasional Imunisasi dan Kesihatan (NACI) mengesyorkan vaksin mRNA seperti Pfizer/BioNTech dan Moderna jika risiko seseorang individu dijangkiti virus Covid-19 rendah, berbanding menggunakan vaksin jenis AstraZeneca atau Johnson & Johnson.

Ini selepas terdapat kes darah beku membabitkan vaksin AstraZeneca dan Johnson & Johnson yang dilaporkan di beberapa negara termasuk Kanada, yang mencetuskan risiko keselamatan, kata pengerusi NACI Shelley Deeks.

“Walaupun amat jarang berlaku, namun ia sangat serius.

“Oleh itu, individu perlu diberi pilihan sama ada untuk menerima vaksin sedia ada atau menunggu vaksin lain,” katanya.

Kanada meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson. 

Sehingga kini seramai 13 juta atau 34% rakyat Kanada sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Negara itu merekodakan 1.2 juta kes jangkitan, termasuk 24,000 kematian. – AFP, 5 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen