JUMLAH rakyat Malaysia yang mahu divaksin meningkat antara Januari dan Mac tahun ini, menurut kajian Merdeka Centre.
Hasil kajian yang dilihat The Malaysian Insight, yang menunjukkan pada Mac, 70% mereka yang ditemu bual mahu divaksin dan hanya 105 yang menolak dan 19% lagi masih belum membuat keputusan.
Ia merupakan peningkatan berbanding kajian yang dijalankan pada Januari yang mana hanya 42% yang mengatakan mereka akan menerima vaksin manakala 25% lagi menolak dan 31% masih belum buat keputusan.
Kaji selidik kedua yang dijalankan bermula 2 hingga 14 Mac melibatkan 1,204 responden di 14 negeri dan semua 222 kawasan Parlimen menerusi telefon. Butiran kajian yang dijalankan ada Januari tidak didedahkan kepada The Malaysian Insight.
Kajian pada Mac diadakan sejurus selepas Malaysia memulakan program imunisasi Covid-19 kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari.
Setakat 3 Mei, 1,520,010 dos vaksin telah diberikan. Sebanyak 930,059 orang menerima dos pertama dan dari jumlah ini, 589,951 menerima dos kedua. Sehingga kini, jumlah orang yang mendaftar untuk vaksinasi adalah 9,756,343.
Program imunisasi Covid-19 mempunyai tiga fasa, menyasarkan 80% penduduk atau 26.5 juta penerima yang akan disuntik secara percuma. Fasa pertama, dari 26 Februari hingga 30 April, menyasarkan petugas barisan hadapan.
Fasa kedua yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi bermula bulan ini dan dijadualkan berlangsung hingga Ogos, sementara fasa ketiga yang melibatkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas akan bermula bulan depan hingga Februari 2022.
Kerajaan turut mempromosikan pendaftaran untuk vaksinasi di aplikasi MySejahtera dan platform berasaskan web, walaupun vaksinasi dilakukan secara sukarela.
Sentimen yang meningkat pada bulan Mac terhadap vaksinasi mungkin digambarkan pada penerimaan program sukarela untuk vaksin Covid-19 AstraZeneca walaupun terdapat kontroversi mengenai kes pembekuan darah yang jarang berlaku di kalangan penerima di Eropah.
Ini dibuktikan apabila slot vaksinasi mendapat sambutan ketika Putrajaya membuka tempahan berdasarkan siapa cepat dia dapat kepada orang awam pada hari Ahad.
Di United Kingdom, hanya 79 kes pembekuan darah dilaporkan daripada 20 juta yang diberi vaksin AstraZeneca.
Dari maklumat terkini, risiko umum pembekuan seperti itu selepas suntikan dianggarkan empat dalam satu juta.
Mereka yang enggan dan tidak membuat keputusan
Sementara itu, tinjauan Mac juga mendapati bahawa enam daripada 10 rakyat Malaysia yang tidak mahu vaksin Covid-19 mengatakan mereka bimbang akan keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut.
Daripada jumlah mereka yang menolak vaksinasi Covid-19, 43.8% mengatakan mereka tidak yakin dengan keselamatan, sementara 25.6% mengatakan mereka bimbang tentang kesan sampingan.
12% lagi mengatakan mereka tidak yakin dengan keberkesanan vaksin, sementara 8% mengatakan mereka tidak mempercayai vaksin, dan 0.8% lagi menyebut kepercayaan agama.
Bagaimanapun menurut tinjauan Mac, kumpulan yang menolak vaksin Covid-19 hanya 10%.
Sementara itu, 41.5% daripada mereka yang belum membuat keputusan mengatakan bahawa mereka akan berunding dengan ahli keluarga sebelum membuat keputusan, sementara 34% mengatakan mereka akan berunding dengan pakar kesihatan.
10.1% lagi mengatakan bahawa mereka akan berbincang dengan rakan-rakan, sementara hanya 1.9% mengatakan mereka akan mencari panduan di media sosial, dan 2.7% mengatakan mereka akan berunding dengan pemimpin agama, politik dan masyarakat.
Kajian itu yang menemubual 1,204 responden di seluruh Malaysia, disampaikan kepada ahli Parlimen semasa pemukiman Pakatan Harapan bulan lalu.– 5 Mei, 2021.
Komen