KETIKA pihak berkuasa kesihatan mula memberi suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca-Oxford di Kuala Lumpur dan Selangor hari ini, penerima memberitahu The Malaysian Insight walaupun agak bimbang, mereka juga yakin akan keberkesanannya.
Mereka menegaskan jutaan orang sudah mengambilnya dan melihat ia sebagai peluang untuk mendapat imunisasi terhadap virus Covid-19 dengan lebih cepat.
Kontroversi mengenai keselamatan vaksin tidak menjejaskan kerana slot imunisasi ditutup dalam masa kurang empat jam sejak pendaftaran dibuka pada 12pm, 2 Mei.
Penganalisis politik Oh Ei Sun yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan berkata beliau melihat ini sebagai peluang mendapatkan vaksin secepat mungkin agar membolehkannya melakukan perjalanan bagi urusan kerja.
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu menambah beliau memilih AstraZeneca walaupun keberkesanannya dikatakan lebih rendah berbanding Pfizer-BioNTech, kerana ketersediaan dan sesuai pada waktunya.
“Saya rasa yang utama adalah kerana itu yang ada. Sejujurnya kita tidak tahu jadual penghantaran jenama lain dan sebagainya,” kata Oh, 46, kepada The Malaysian Insight
“Sebenarnya, kebanyakan orang ingin mendapatkan Pfizer. Saya rasa kumpulan pertama Pfizer sudah habis dengan cepat. Ia adalah untuk barisan hadapan, ahli politik dan lain-lain.
“Anda tidak tahu bila akan mendapat vaksin. Ada yang kata kita perlu anggap bernasib baik jika anda mendapat vaksin pada akhir tahun ini. Kini dengan AstraZeneca, ia seperti peluang memotong giliran yang sah.”
Beliau juga berkata walaupun terdapat beberapa laporan mengenai kemungkinan kesan sampingannya, kebarangkalian berlaku sesuatu yang tidak kena agak rendah dan menambah banyak individu terkemuka juga menerima suntikan vaksin itu.
Fatimah Zainal, 27, juga bersetuju yang ini adalah jalan lebih pantas untuk mendapat suntikan.
“Ia lebih cepat daripada menunggu giliran saya dalam program imunisasi kebangsaan. Tambahan pula, Justin Trudeau (perdana menteri Kanada) turut mendapat vaksin yang sama. Justeru, jika ia cukup baik untuknya, ia juga baik untuk saya,” katanya.
Fatimah, yang sedang menyusui bayinya, berkata pada awalnya beliau sedikit bimbang mempunyai kebimbangan tetapi kini yakin sepenuhnya lebih baik baginya mendapatkan vaksin.
“Saya terbaca yang antibodi boleh diberikan kepada bayi juga dan mungkin memberikan imuniti kepada anak saya.
“Saya juga mempunyai rakan lain yang turut menyusukan anak dan seorang daripada barisan hadapan sudah mendapatkan suntikan. Jadi, ini memberi saya lebih banyak keyakinan,” kata Fatimah, sambil menambah yang beliau diberi kebenaran oleh doktornya untuk menerima vaksinasi.
Sambil meluahkan kebimbangannya terhadap peningkatan kes Covid-19, Fatimah juga membangkitkan perkara mengenai pengambilan vaksin yang agak perlahan di kalangan rakyat Malaysia.
“Kita memerlukan lebih banyak orang untuk diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok dengan cepat tetapi nampaknya kebanyakan orang masih enggan divaksinasi. Jadi, saya tidak terlalu yakin mengenai mewujudkan imuniti kelompok.
“Lebih baik lindungi diri daripada bergantung pada orang lain untuk melakukannya,” katanya.
Nurul Munira Rohaizan, 36, berkata terdapat keperluan mendesak untuk mempercepatkan program vaksinasi memandangkan lonjakan kes Covid-19 sejak kebekalangan ini.
“Sejujurnya, alasan utama mengapa saya memilih mengambil suntikan adalah kerana saya tidak percaya kepada sistem kempen,
“Kepantasan usaha vaksinasi, khabar angin mengenai VVIP yang memotong giliran dan kurangnya keutamaan terhadap individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Kami akan selalu berada di belakang. Jadi apabila ada peluang, saya mengambilnya,” katanya ketika ditanya mengapa beliau memilih menerima suntikan vaksin. – 5 Mei, 2021.
Komen