Sektor ekonomi beroperasi seperti biasa di 6 daerah PKP 


Ravin Palanisamy

AKTIVITI ekonomi dibenarkan beroperasi di enam daerah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Selangor, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada prosedur operasi standard lebih ketat dan perubahan dalam waktu operasi. 

“Aktiviti ekonomi dalam kawasan PKP yang diumum dibenarkan namun dengan SOP ketat dan perubahan dalam syarat masa operasi.

“Aktiviti sosial tidak dibenarkan,” katanya yang juga menteri pertahanan pada sidang media hari ini. 

Enam daerah di Selangor akan dikenakan PKP bermula 6 Mei.

Daerah terbabit adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang. Kuala Lumpur kekal di bawah PKPB.

Beliau berkata keputusan melaksanakan PKP itu dibuat selepas kerajaan negeri menghantar kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Ismail berkata bazar Ramadan di enam daerah berkenaan dibenarkan beroperasi di bawah SOP ketat dan menambah beliau akan menyerahkan keputusan muktamad kepada kerajaan negeri. 

Premis makanan seperti restoran, trak makanan, penjaja dan kios akan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Ini berbeza dengan kawsan lain yang mana perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga sahur,” katanya.

Kedai runcit, kedai serbaneka dan farmasi dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam, dan stesen minyak di daerah ini juga beroperasi pada waktu yang sama, kecuali di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam. 

Pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 2 petang manakala hospital, klinik dan makmal perubatan beroperasi seperti biasa. – 4 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen