23 kematian dilaporkan hari ini


Ragananthini Vethasalam

Enam hospital dikhaskan untuk pesakit Covid-19 didapati melebihi ambang had, dengan kapasiti katil melebihi 70%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2021.

MALAYSIA terus menyaksikan lebih 300 kes kritikal di unit rawatan rapi (ICU) untuk hari ketujuh berturut-turut, ketika hospital di beberapa bahagian negara semakin sesak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 338 kes yang dirawat di ICU pada pukul 12 tengah hari ini, sedikit rendah berbanding 352 kes yang dilaporkan semalam.

Daripada jumlah ini, 181 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Ia juga merupakan jumlah pesakit kedua tertinggi yang diletakkan di bawah sokongan ventilator, sejak 186 kes semalam.

Noor Hisham berkata dua hari lalu, kadar penghunian ICU di hospital Lembah Klang sudah mencapai 90%.

Dalam catatan di Facebook, beliau berkata enam hospital dengan katil untuk rawatan kritikal dan ICU yang dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati melebihi ambang had, dengan kapasiti katil melebihi 70%.

Enam daripadanya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Katanya, beberapa hospital ini juga mencapai kapasiti 100% bagi penggunaan katil dan ICU.

Hari ini Johor mengumumkan hospital di negeri ini melebihi kapasiti ICU mereka.

Di samping itu, 23 kematian dilaporkan hari ini, yang merupakan jumlah tertinggi sejak 18 Februari. – 4 Mei, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen