PKP di 6 daerah Selangor bermula Khamis  


Ravin Palanisamy

Perjalanan merentas daerah dan negeri bagi enam daerah ini adalah tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan dan tujuan pekerjaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2021.

ENAM daerah di Selangor akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. 

Daerah terbabit adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang. 

Beliau berkata keputusan melaksanakan PKP itu dibuat selepas kerajaan negeri menghantar kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“PKP di enam daerah ini akan bermula dari 6 Mei hingga 17 Mei, 2021.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021,” katanya pada sidang media hari ini. 

Di bawah PKP ini, perjalanan merentas daerah dan negeri bagi enam daerah ini adalah tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan dan tujuan pekerjaan. 

Prosedur operasi standard (SOP) bagi enam daerah ini akan mengikut prosedur PKP biasa.

Ini termasuk operasi semua perniagaan makanan dari jam 6 pagi hingga tengah malam, untuk kedai yang menjual barang keperluan harian dari jam 6 pagi hingga 10 malam, dan untuk pasar dari jam 6 pagi hingga 2 petang.

Sementara itu tiga daerah lain di Selangor masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Daerah terlibat adalah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. – 4 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen