DR Mahathir Mohamad sedia menjawab tuntutan saman dikemukakan Khalid Abu Bakar di mahkamah berhubung dakwaan beliau memfitnah bekas ketua polis negara itu.
Bekas perdana menteri ketujuh itu berkata beliau sudahpun menerima surat tuntutan daripada Khalid serta mengarahkan peguamnya memberi jawapan balas.
“Saya akan berdepan beliau di mahkamah,” kata Dr Mahathir dalam kenyataannya di Facebook.
Ia menjawab tuntutan Khalid yang memberi tempoh tujuh hari kepada Dr Mahathir untuk meminta maaf atas kenyataan yang didakwanya berunsur fitnah itu.
Tuntutan Khalid itu yang disiarkan portal PNBBC menyebut, kenyataan Dr Mahathir tidak benar dan menjejaskan reputasi serta maruahnya selaku bekas ketua polis negara.
“Saya beri Mahathir tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik semula kenyataannya,” kata Khalid seperti dikutip portal tersebut.
Tuntutan saman itu atas satu kenyataan Dr Mahathir yang antara lain mendakwa tindakan atas perdana menteri keenam Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Khalid.
Perdana menteri ketujuh mendakwa perkara itu sewaktu menjelaskan komunikasi beliau dengan Zeti Akhtar Aziz sewaktu bekas penasihat kerajaan itu masih menjadi gabenor Bank Negara.
Dakwaan itu dibuat dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Dr Mahathir memberitahu portal itu, Zeti pada masa itu berhasrat mengambil tindakan sewaktu Najib masih menjadi perdana menteri tetapi tidak dilaksanakan kerana usaha tersebut dibocorkan oleh Khalid.
Seterusnya, ia menyebabkan empat pegawai tinggi kerajaan termasuk peguam negara dan ketua pesuruhjaya agensi antirasuah “dihancurkan”, katanya.
“Sebenarnya, semasa Najib (menjadi perdana menteri) lagi saya bercakap dengan Zeti. Zeti yang bagitahu pada saya (bahawa) Najib ada duit banyak dalam bank.
“Dia kata nak ambil tindakan. Dia cuba. Lepas itu entah apa yang Najib buat, dia tak beranilah.
“Kumpulan empat orang itu, ketua polis (ketika itu) cerita pada Najib tentang kumpulan empat orang ini. Peguam negara dipecat.
“Najib hancurkan kumpulan empat orang tersebut,” dakwa Mahathir seperti dipetik Malaysiakini.
Peguam negara pada masa itu, Abdul Gani Patail mengetuai pasukan tindakan khas menyiasat wang berbilion ringgit dalam akaun Najib yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB.
Pasukan itu turut dianggotai Zeti selaku gabenor Bank Negara, Khalid sebagai ketua polis negara dan Abu Kassim Mohamed sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pasukan tindakan khas itu dibubarkan dengan pemecatan Gani pada 2015.
Najib bagaimanapun ditangkap tidak lama selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018 dan didakwa di mahkamah.
Najib pada 28 Julai lalu disabitkan dengan kesalahan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta SRC International.
Beliau kini merayu sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta. – 4 Mei, 2021.
Komen