Covid-19: New York longgarkan sekatan


New York mengumumkan kelonggaran sekatan koronavirus dengan had pengunjung dihapuskan untuk banyak premis perniagaan dan budaya di kawasan bandar. – Gambar EPA, 4 Mei, 2021.

GABENOR New York Andrew Cuomo mengumumkan kelonggaran sekatan koronavirus semalam termasuk penyambungan operasi 24 jam kereta api bawah tanah.

Pengumuman itu menunjukkan sejauh mana Big Apple, yang pernah menjadi pusat wabak Amerika Syarikat mengendalikan virus berkenaan.

Mulai 19 Mei, had pengunjung akan dihapuskan untuk banyak premis perniagaan dan budaya di kawasan bandar – termasuk kedai, restoran, pawagam dan muzium, kata Cuomo.

Had ini pada masa ini berbeza antara 33 dan 75 peratus kapasiti.

Premis perniagaan dibenarkan untuk menerima seberapa ramai pengunjung dengan syarat penjarakan sosial sejauh enam kaki dijaga seperti yang disarankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit persekutuan.

“Ia dibuka sepenuhnya dengan syarat penjarakan sosial sejauh enam kaki. Peraturan enam kaki tidak terpakai jika semua pelanggan memberikan bukti vaksinasi atau ujian saringan negative,” katanya.

Had berkumpul di luar akan meningkat dua kali ganda dari 250 sehingga 500 orang sementara 250 orang dapat berkumpul di kawasan bertutup.

Perhimpunan yang lebih besar akan dibenarkan jika semua orang yang hadir sama ada diberi vaksin atau yang baru diuji negatif.

Pengumuman itu membuka jalan bagi teater terkenal di New York untuk merancang kembali pembukaan premis berkenaan.

“Kami berharap dapat membuka semula operasi dengan kapasiti penuh dan berusaha memastikan keselamatan penonton serta pekerja,” kata persatuan perdagangan Broadway League.

Cuomo berkata perkhidmatan kereta api bawah tanah di Big Apple akan beroperasi semula pada 17 Mei.

Pada Mei 2020, ketika New York dilanda wabak ini, perkhidmatan dihentikan semalaman bagi membolehkan kereta api menjalani proses pembasmian kuman. Perkhidmatan berhenti operasi antara jam 2 pagi dan 4 pagi. – AFP, 4 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen