Keluarga minta kerajaan Kedah pelihara tanah perkuburan Hindu


Noel Achariam

Penduduk menunjukkan tanah perkuburan di Taman Peruda, Sungai Petani, Kedah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Mei, 2021. 

SEBUAH komuniti Hindu di Taman Peruda di Sungai Petani, Kedah berang dengan tindakan pemaju yang mengeluarkan notis mahu menuntut kembali pemilikan sebidang tanah perkuburan yang menempatkan nenek moyang mereka.

Pada Januari 2021, UDA Ventures melalui anak syarikatnya menghantar notis kepada penduduk tempatan berhampiran untuk mengosongkan tanah berkenaan.

Pihak mereka melantik subkontraktor dari Pulau Pinang bagi mengosongkan tanah tersebut bagi tujuan membina kawasan perumahan di situ.

Mengetuai bantahan menentang perobohan tanah perkuburan dan perlakuan tidak adil terhadap penganut Hindu adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy yang mempersoalkan alasan membenarkan perkuburan Hindu dikosongkan untuk pembangunan.

“Kaum Hindu di Kedah dinafikan bukan hanya kuil dan perayaan mereka namun tanah perkuburan mereka.

“Adakah kerajaan PAS Kedah berjaya mewujudkan persekitaran permusuhan terhadap kaum India?

“Kecuali ada campur tangan dalam bentuk tertentu, jenazah pekerja ladang di tanah perkuburan akan hilang satu persatu,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan sebelum ini.

Tanah perkuburan itu sudah wujud lebih dari 60 tahun.

Ramasamy berkata bahawa kaum India di Kedah sudah kehilangan dua kuil yang dirobohkan dan mereka juga tidak dapat menikmati cuti umum Thaipusam.

Kini mereka terpaksa hilang tanah perkuburan, sesuatu yang suci bagi penganut Hindu, katanya.

Pada Disember, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah kerana dibina di atas tanah kerajaan negeri.

Ini adalah perobohan kuil kali kedua di negeri ini dalam tempoh enam bulan selepas kuil Madura Veeran yang berusia 100 tahun di pintu masuk Stesen Kereta Api Alor Setar dirobohkan pada Julai.

“Nampaknya tidak berakhir dendam kerajaan atau agensi kerajaan terhadap masyarakat India,” kata timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkenaan.

Keadaan tanah perkuburan Hindu di kawasan perumahan Taman Peruda di Sungai Petani, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Mei, 2021.

Permintaan keluarga

P. Purusothaman, 68, yang tinggal bersebelahan tanah perkuburan di kawasan perumahan Taman Peruda berharap kerajaan negeri Kedah dapat memelihara tanah berkenaan.

“Nenek moyang isteri saya dikebumikan di sini. Kami minta tanah itu diambil semula oleh kerajaan negeri dan dipelihara.

“Kami berharap peringatan dibina di sini bagi mengenang pekerja ladang United Patani yang dikebumikan di sini,” katanya.

Purusothaman berkata antara 33 orang yang dikebumikan di lokasi tersebut adalah ibu bapa dan datuk nenek isterinya.

Dia berkata tanah perkuburan itu tidak disentuh selama bertahun-tahun sehingga 7 Disember, apabila beberapa individu datang ke lokasi dan mendakwa mereka sudah membeli tanah itu serta merancang untuk mengosongkan kawasan berkenaan.

“Saya memberitahu mereka bahawa ini adalah tanah perkuburan India dan mereka mempunyai dokumen yang menunjukkan permilikan hak tanah tersebut.

Katanya, Taman Peruda dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah yang menyebabkan tanah perkuburan tidak disentuh ketika projek perumahan itu dibina.

Purusothaman berkata dia sudah membuat laporan polis megenai cadangan pengosongan kubur dan pergi ke pejabat menteri besar sebanyak lima kali sejak Disember tahun lalu bagi meminta diadakan pertemuan tetapi ditolak kerana dia tidak mempunyai janji temu.

Bagi mendapatkan maklumat terkini kawasan berkenaan, Purusothaman berkata dia pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah Alor Setar awal tahun ini.

Katanya setelah menyemak dengan jabatan tersebut, dia mendapat tahu Peruda Kedah Sdn Bhd anak syarikat UDA Land Sdn Bhd sudah memperoleh tanah tersebut.

Purusothaman berkata dia sekali lagi pergi ke pejabat Menteri Besar pada Januari bagi bertemu dengan B.K Kumaresan yang merupakan Pegawai Khas untuk Hal Ehwal India.

“Saya kemudia memberikan kepadanya (Kumaresan) sebuah fail yang mempunyai maklumat berkenaan tanah perkuburan itu,” katanya

Purusothaman berkata pada Khamis, Kumaresan memberitahunya bahawa Menteri Muhammad Sanusi Md Nor mungkin akan berjumpanya pada 25 Mei.

Purusothaman berharap agar Sanusi mendengar permintaan mereka dan memelihara tanah perkuburan berkenaan. – 5 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen