PIHAK berkuasa kesihatan mengesan sembilan kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata daripada kluster baharu itu, tiga berkait penularan komuniti, tiga berkait tempat kerja, dua berkait sektor pendidikan dan satu berkait pusat tahanan.
Dr Noor Hisham berkata dua kluster masing-masing dikesan di Pahang dan Johor, manakala satu di Selangor, Melaka, Kedah, Terengganu dan Perak.
Beliau berkata kluster industri Mahkota 2 di Hulu Langat, Selangor membabitkan tapak pembinaan merekodkan kes tertinggi dalamkalangan klusteer yang dilaporkan hari ini, dengan 121 orang disahkan positif.
Dua lagi kluster tempat kerja adalah di Jalan Jati di Johor yang merekodkan 26 kes dalam kalangan pekerja kilang, dan kluster Tok Has di Terengganu, yang melaporkan 29 kes dalam kalangan pekerja restoran.
Tiga kluster penularan komuniti adalah Lorong Galian di Kuantan, Pahang (13 kes), Jalan Dahlia Lima di Melaka Tengah, Melaka (11 kes) dan Bunga Raya di Kuala Muda dan Kulim, Kedah (10 kes).
Daripada dua kluster berkait pendidikan, satu melibatkan sekolah kerajaan di Kuantan, Pahang iaitu kluster Indera Mahkota Dua, yang mana 16 kes positif Covid-19 dikesan.
Jalan Bandar di Johor Bahru, Johor merupakan satu lagi kluster pendidikan yang mana 18 kes dikesan dalam kalangan kakitangan dan pelajar.
Kluster terakhir dikesan di Jalan Meru Utama - kluster yang berkait dengan pusat tahanan di Perak, yang melaporkan 40 kes positif, iaitu kedua tertinggi hari ini.
Kes merebak di daerah Kinta, Batang Padang, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Selama di Perak.
Sembilan kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kepada 1,689 yang mana 389 masih aktif dan 74 daripada nya melaporkan kes baharu hari ini.
Tujuh kluster turut diumumkan tamat hari ini, menjadikan kumpulan jangkitan kepada 1,291. – 3 Mei, 2021.
Komen