PROGRAM sukarela untuk vaksin AstraZeneca Covid-19 akan diperluas ke bahagian lain di negara ini, susulan permintaan tinggi selepas pelaksanaannya di Lembah Klang semalam, kata Khairy Jamaluddin.
“Keputusan memperluaskan program pemberian AstraZeneca itu adalah berdasarkan sambutan menggalakkan diterima pada kali pertama tawaran terbabit dibuka, semalam,” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada sidang media mingguan berhubung perkembangan program imunisasi.
Perluasan program vaksinasi itu juga akan turut mengambil kira individu di kawasan tiada akses internet atau berdepan kekangan untuk mengakses laman sesawang sistem pendaftarannya.
“Semalam adalah peringkat pertama AstraZeneca. Jadi, kami mahu cuba dan lihat ada atau tidak permintaan dan kami mahu ia dilakukan secepat mungkin.
“Di masa akan datang, kami akan mengambil kira mereka yang tidak mempunyai akses berkenaan dan akan mendekati klinik komuniti bagi memastikan vaksin ini dapat ditawarkan secara sukarela serta meluas,” katanya.
Semalam, menyaksikan kesemua 268,800 slot pendaftaran janji temu untuk mendapatkan dos berkenaan, penuh dalam tempoh hanya beberapa jam selepas sistem pendaftaran dibuka pada tengah hari.
Tempahan diterima menerusi laman web vaksincovid.gov.my bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, berumur 18 tahun ke atas.
Ada yang melabel langkah ini sebagai “ketaksamaan vaksin”, kata Khairy, dan menafikan kerajaan ada niat demikian.
Menteri sains, teknologi dan inovasi mengakui kekurangan pada pusingan pertama tempahan sukarela kerana kerajaan ingin mengukur permintaan vaksin AstraZeneca, setelah timbul keraguan berikutan berita mengenai kes pembekuan darah yang jarang berlaku dalam peratusan penerima yang sangat kecil di Eropah.
“Keseluruhan alasan untuk memilih vaksin AstraZeneca adalah kerana keraguan vaksin terhadap jenama vaksin ini.
“Ini dapat dilihat menerusi pembatalan 8,000 pendaftaran vaksinas dalam MySejahtera apabila kita umumkan AstraZeneca digunakan di bawah program imunisasi.
“Jumlah pembatalan terus meningkat dan ini menyebabkan kita buat keputusan untuk keluaran vaksin AstraZeneca dar program dan jadikan ia sebagai pilihan.
“Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan pemberian AstraZeneca dilakukan secara sukarela, kami mendapati sehingga 80 peratus individu yang membatalkan pendaftaran, kembali mendaftar semula.
Khairy juga berkata klinik swasta akan dimasukkan dalam program sukarela vaksinasi Covid-19 menggunakan vaksin AstraZeneca bagi meningkatkan penggunaannya hingga 80%.
Beliau juga berkata kira-kira 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca akan tiba bulan ini daripada Peruntukan Vaksin Covid-19 Global atau kemudahan Covax.
Tambahnya 610,000 dos akan tiba dari AstraZeneca, 410,000 dos lain pada Jun dan 1.2 juta dos pada Ogos dan September.
Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Dr Sim Jui Hian menolak penggunaan vaksin AstraZeneca di negeri itu. – 3 Mei, 2021.
Komen