Kes Covid-19 melonjak, Pakistan ketat kawalan sempadan


Pakistan bimbang dengan krisis koronavirus dialami India dan bertindak memperketatkan kawalan di sempadannya. – Gambar EPA, 3 Mei, 2021.

PAKISTAN bertindak menutup jalan darat dengan Iran dan Afghanistan bagi pelancong serta menyekat penerbangan antarabangsa ketika kerajaan memberi amaran tahap “kritikal” beberapa minggu susulan pertempuran melawan Covid-19.

Sekatan sempadan diumumkan pada Ahad ketika negara itu bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri, yang biasanya menyaksikan pergerakan orang ramai antara bandar dan kampung serta pekerja migran dan warga Pakistan pulang untuk beraya.

Pihak berkuasa Pakistan bimbang menyaksikan krisis koronavirus yang berlaku di negara jiran India.

Lembaga Penerbangan Awam berkata pada Sabtu, bermula Rabu, 80% penerbangan akan ditangguhkan selama dua minggu, terutama dari Timur Tengah, hingga pertengahan Mei apabila cuti raya selesai.

Sempadan antara Iran dan Afghanistan juga akan ditutup, kata pasukan petugas koronavirus negara itu, sambil menambah aktiviti perdagangan terkecuali.

Penerbangan dan menyeberang melalui jalan darat dengan negara jiran India sudah ditutup sebelum wabak bermula kerana ketegangan politik.

Pakistan yang miskin bergelut menahan gelombang jangkitan ketiga, dengan lebih 800,000 kes dan 18,000 kematian dilaporkan.

Hanya sebahagian kecil daripada 220 juta penduduknya sudah divaksinasi.

Menteri perancang Asad Umar, yang mengetuai respons kerajaan terhadap wabak itu, berkata dua minggu lagi adalah “kritikal”, ketika pihak berkuasa kesihatan bergegas meningkatkan kapasiti rawatan rapi.

Tahun lalu, Pakistan menyaksikan lonjakan kes berikutan Ramadan dan Aidilfitri.

Masjid tetap dibuka sepanjang Ramadan, dengan sedikit mematuhi garis panduan penjarakan sosial semasa solat jemaah setiap malam.

Himpunan persendirian, kedai dan restoran dikenakan sekatan ketat, dengan tentera diarah membantu menguatkuasakan peraturan.

Kerajaan juga mengumumkan larangan perjalanan antara wilayah selama lebih seminggu sepanjang lebaran dan mengarahkan penutupan hotel dan tempat pelancongan. – AFP, 3 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen