KEMENTERIAN Kebudayaan dan Pelancongan China pada Ahad sekali lagi mengeluarkan notis bagi memperketatkan usaha membendung penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh cuti Hari Pekerja selama lima hari.
Untuk dua hari pertama, destinasi pelancongan popular di negara ini dikunjungi ramai pelancong, sementara beberapa muzium terkenal juga menerima tempahan tiket yang luar biasa.
Sehubungan itu, destinasi pelancongan disaran mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan risiko penularan wabak.
Langkah itu termasuk mengehadkan jumlah pelawat, hanya menerima pelancong yang membuat tempahan awal, mengatur pelancong datang pada waktu berbeza dan mempertingkatkan kerja disinfeksi di ruang tertutup seperti muzium.
Selain itu, memastikan jumlah bas feri mencukupi, mengawal jumlah pelancong dan menyalurkan maklumat kepada orang ramai bagi mengelakkan kawasan pelancongan terlalu padat .
Kementerian itu turut menasihati pelancong mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka bagi membendung penularan wabak. – Bernama, 3 Mei, 2021.
Komen