SEMUA penerbangan Malaysia Airlines dari India sejak 28 April adalah pesawat kargo, kata Kementerian Pengangkutan, menolak tuduhan ada penumpang dari negara teruk dilanda Covid-19 itu dibenarkan masuk ke negara ini walaupun sekatan dikuatkuasakan.
Menteri Pengakutan Wee Ka Siong berkata kerajaan berpegang kepada keputusan Kabinet pada 28 April untuk tidak membenarkan kemasukan penumpang dari India susulan krisis pandemik di negara berkenaan yang semakin teruk.
“Hanya pesawat kargo dibenarkan pada masa ini.
“Semua penerbangan MH yang tular di media sosial, adalah pesawat kargo saja.
“Pesawat itu tidak membawa penumpang dan digunakan untuk mengangkut barang seperti barangan farmaseutikal, ubat, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” kata Wee dalam satu kenyataan.
Tangkapan skrin senarai penerabangan MH menunjukkan ketibaan di Malaysia dari pelbagai negara termasuk India, menjadi tular baru-baru ini, mencetuskan dakwaan Malaysia Airlines tidak mematuhi arahan kerajaan melarang kemasukan pengunjung dari India.
Wee menegaskan sekali lagi larangan itu dikenakan kepada pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India.
Warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja), keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India dibenarkan dengan kuarantin mandatori 14 hari di pusat ditetapkan.
Semua kru (juruterbang, jurutera dan kru kabin Malaysia Airlines tetap berada di atas kapal, malah MAB melarang kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat berkenaan, kata Wee. – 3 Mei, 2021.
Komen