KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan 11 kluster baharu Covid-19 melibatkan lima kluster komuniti, empat kluster sektor pendidikan termasuk dua kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan dua kluster tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Sungai Tengah; Kluster Sungai Sebemban dan Kluster Sebujok di Sarawak, Kluster Jalan Sri Putri 12, Johor; Kluster Jalan Emas, Melaka manakala kluster pendidikan iaitu Kluster Sains Bakam, Sarawak; Kluster Kiara Jaya, Kluster Jalan Junjong dan Kluster Limau Karangan, Kedah.
“Kluster tempat kerja pula ialah Kluster Kasawari Sembilan dan Kluster Persiaran Raja di Selangor,” katanya.
Menurut beliau sebanyak 10 kluster tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,284 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 396.
Sepuluh kluster yang tamat adalah Kluster Lorong Mulia; Kluster Jalan Alamanda; Kluster Jalan Padang; Kluster Taman Brick; Kluster Jalan Kemajuan; Kluster Jalan Suasana; Kluster Wakaf Chagak; Kluster Jalan Teluk Kumbar; Kluster Kampung Batu Lapan Lekir dan Kluster Sungai Mupong.
Mengenai kes pertama membabitkan varian India iaitu B.1.617.1 (P1) yang dikesan daripada seorang rakyat India yang menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Dr Noor Hisham menjelaskan individu terbabit telah diasingkan dan sedang menerima rawatan.
Beliau menegaskan Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April lepas.
Selain varian India, Kementerian Kesihatan juga telah mengesan sejumlah 30 kes varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan pandemik Covid-19 di Malaysia iaitu 27 kes bagi varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes bagi varian United Kingdom (B.117). – Bernama, 2 Mei, 2021.
Komen