TIADA campur tangan politik dalam jabatan polis sebelum ini, kata dua bekas pegawai kanan polis sambil menyuarakan kebimbangan terhadap situasi terkini dalam pasukan keselamatan itu.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Zaman Khan memberitahu The Malaysian Insight bahawa semua keputusan dalam pasukan polis dibuat oleh satu jawatankuasa yang diketuai Ketua Polis Negara (KPN).
“Semasa zaman saya, tiada campur tangan. Semua kenaikan pangkat anggota dari ASP dan ke atas dibuat oleh jawatankuasa yang dipengerusikan KPN dan timbalannya.
“Ada empat pengarah dan saya salah seorang daripadanya. Kami akan duduk dalam bilik persidangan dan membincangkan kenaikan pangkat anggota polis.
“Tiada campur tangan daripada ahli politik dan mereka yang naik pangkat akan disaring. Malah badan pencegah rasuah juga akan melakukan siasatan latar belakang,” kata Zaman.
Zaman berkhidmat dalam pasukan polis dari Jun 1962 sehingga 1977.
Beliau bagaimanapun mengakui perbezaan pendapat antara pegawai merupakan perkara biasa.
“Saya pernah berada dalam situasi itu sebelum ini. KPN Haniff Omar akan bersara dan saya dipanggil oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
“Beliau memaklumkan jawatankuasa polis bersetuju melantik saya sebagai timbalan KPN, tetapi KPN baharu memaklumkan dia tidak boleh berkerja dengan saya.
“Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak mahu KPN dan timbalan tidak bercakap antara satu sama lain.
“Dipendekkan cerita, satyua tidak menjadi timbalan, sebaliknya menjadi pengarah penjara.
“Itu saja. Perdana menteri tidak pernah mencampuri urusan dalaman polis. Begitu juga menteri dalam negeri ketika itu. Mereka membiarkan polis untuk membuat keputusan sendiri,” kata Azman.
Haniff digantikan oleh Rahim Noor dan Norian Mai menjadi timbalan Rahim.
Jumaat lalu, KPN Abdul Hamid Bador mendakwa berlaku campur tangan politik dalam hal dalaman polis.
Hamid berkata negara ini diambang bahaya jika ahli politik mencampuri atau mengganggu urusan polis.
“Seorang menteri tidak boleh campur tangan hal dalaman anggota polis. Menteri hanya diberi kuasa untuk menetapkan dasar.
“Jangan marah, (jika saya katakan), menteri dalam negeri mempunyai terlalu banyak kuasa, ”katanya kepada editor dalam sidang media di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman. – 2 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen