Kes baharu Covid-19 kembali lepasi angka 3,000


Ravin Palanisamy

Selangor masih kekal sebagai negeri paling tinggi merekodkan kes baharu dengan 1,200 kes disusuli Sarawak (587) dan Kelantan (400). – Grafik oleh The Malaysian Insight, 2 Mei, 2021.

HANYA sehari selepas merekodkan kes kurang bawah 3,000, Malaysia sekali lagi melepasi angka itu apabila mencatatkan 3,418 kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor masih kekal sebagai negeri paling tinggi merekodkan kes baharu dengan 1,200 kes disusuli Sarawak (587) dan Kelantan (400).

Ia diikuti Johor dengan 213 kes; Kuala Lumpur (198); Terengganu (184); Pulau Pinang (145); Sabah (115); Kedah (101); Perak (77); Negeri Sembilan (73); Melaka (61); Pahang (45); Putrajaya (8); Labuan (7) dan Perlis (4).

Ini merupakan hari ke-10 Selangor menjadi negeri paling banyak mencatatkan kes baharu wabak itu.

Bagi kes keseluruhan mengikut negeri, Selangor merupakan paling tinggi dengan 134,849 kes diikuti Sabah (58,315) dan Johor (45,900 ).
 
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini kini sebanyak 415,012.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan media berkata dalam tempoh 24 jam lepas sebanyak 2,698 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulih sebanyak 383,140 kes manakala kes aktif kini 30,339.

Beliau berkata sebanyak 345 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 175 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan manakala pertambahan 12 kematian menjadikan jumlah keseluruhan angka korban akibat wabak itu kini 1,533 orang. – 2 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen