KERAJAAN persekutuan dan negeri perlu memikirkan bantuan kepada peniaga yang terjejas selepas 22 bazar Ramadan di enam negeri dan Kuala Lumpur diarah tutup, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, kerajaan persekutuan dan negeri tidak boleh lepas tangan begitu sahaja selepas bazar Ramadan terlibat ditutup, susulan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung bazar.
“Saya syorkan bantuan kewangan atau apa sahaja yang sewajarnya jika ada peniaga yang memerlukan.
“Sebahagian mereka pasti telah mengeluarkan modal operasi untuk membeli stok dan sebagainya. Pendapatan harian juga telah tiada.
“Pasti payah jika mereka terpaksa menanggung kerugian besar terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang semakin memburuk,” katanya dalam tulisan di Facebook.
Zahid berkata beliau tidak pasti jumlah peniaga yang terjejas namun memahami keputusan dibuat demi kepentingan umum.
Dalam pada itu, beliau berharap bazar Ramadan yang masih beroperasi terus memperkemaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Jumaat mengarahkan operasi 22 bazar Ramadan di Kuala Lumpur serta Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, dan Selangor, ditutup berkuat kuasa semalam selepas dikenap pasti kawasan berisiko tinggi.
Arahan itu melibat dua bazar Ramadan di Kuala Lumpur, empat di Johor, tiga di Kedah, dua di Pahang, satu di Perak, lapan di Pulau Pinang dan dua di Selangor.
Dalam perkembangan lain, BH melaporkan penganjur sebuah bazar Aidilfitri di Tasek Gelugor, Pulau Pinang malam tadi dikenakan kompaun RM20,000 selepas gagal mengawal kehadiran pengunjung sehingga menyebabkan kesesakan dan tiada penjarakan fizikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor dipetik berkata kompaun dikeluarkan selepas pihak penganjur ditegur dan dinasihati beberapa kali sebelum ini.
Bazar Ramadan itu sepatutnya hanya boleh dikunjungi sekitar 400 orang pada satu-satu masa tetapi jumlah kehadiran melebihi angka itu semasa pemeriksaan pihak berkuasa pada malam tadi. – 2 Mei, 2021.
Komen