KETUA Penasihat Pandemik Amerika Syarikat (AS) Anthony Fauci semalam menyarankan India melaksana perintah berkurung selama beberapa minggu susulan lonjakan kes Covid-19 di negara itu.
Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi enggan mengenakan perintah berkurung di seluruh India selepas langkah yang diambil setahun lalu menyebabkan ekonomi terjejas teruk.
“Apa yang penting ketika ini adalah mendapatkan oksigen, bekalan, ubat-ubatan, PPE dan lain-lain keperluan berkaitan.
“Namun, penting juga untuk segera mengenakan perintah berkurung seluruh negara. Dan tidak perlu tutup sehingga enam bulan. Anda boleh kenakan perintah berkurung sementara untuk hentikan kitaran penularan,” Fauci dipetik berkata akhbar Indian Express semalam.
Tambahnya, tiada siapa yang mahukan perintah berkurung, namun ia jalan terbaik untuk mengekang penularan Covid-19.
India mencatat lebih 400,000 kes baharu semalam dan tujuh juta kes dilaporkan pada April.
Beberapa negeri telah mengenakan sekatan pergerakan dan larangan aktiviti terutama di wilayah barat iaitu Maharashtra dan New Delhi.
Perkhidmatan kesihatan negara itu juga kini berada pada tahap kritikal. – AFP, 2 Mei, 2021.
Komen