PULUHAN ribu orang berarak di Stadium Olimpik Montreal semalam bagi membantah sekatan pergerakan yang dikenakan kerajaan untuk membendung gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Kanada.
Media tempatan menganggarkan bantahan disertai kira-kira 30,000 orang.
Peserta yang rata-rata tidak memakai pelitup muka dan berdiri rapat antara satu sama lain mendesak kerajaan membatalkan peraturan yang disifatkan tidak adil.
Mereka mengkritik arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan perintah berkurung di beberapa tempat yang dilaksanakan sejak awal Januari.
Berikuran kadar jangkitan yang kian menurun, kerajaan mengarahkan perintah berkurung di Montreal akan bermula jam 9.30 malam berbanding 8 malam sebelum ini.
“Kami hanya mahu sekatan dihentikan. Kerugian akibat sekatan lebih teruk daripada kesan jangkitan Covid-19,” kata salah seorang peserta himpunan.
Langkah kerajaan menyekat pergerakan menyebabkan lebih ramai orang membunuh diri dan jatuh muflis, kata mereka.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyifatkan bantahan semalam “amat mengecewakan”.
“Ironinya, himpunan bantahan itu menyebabkan orang ramai terdedah kepada risiko, menyebarkan jangkitan Covid-19 dan seterusnya akan memanjangkan lagi tempoh untuk membendung jangkitan,” katanya.
Stadium Olimpik Montreal antara pusat vaksinasi Covid-19 terbesar di Kanada.
Sehingga kini Kanada mencatat lebih 1.2 juta kes Covid-19 dengan 24,000 kematian. Lebih separuh jumlah kematian direkodkan di Ontario dan Quebec. – AFP, 2 Mei, 2021.
Komen