KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan keadaan penularan Covid-19 di negara ini kembali meruncing dan memerlukan setiap individu untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
Menerusi hantaran di laman Twitternya beliau berkata orang ramai perlu kembali kepada amalan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation).
“Manakala amalan 3W - kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” katanya.
Dr Noor Hisham menerusi ciapan berasingan memaklumkan kes positif baharu Covid-19 hari ini mencatatkan 2,881 kes berbanding 3,788 kes semalam.
Katanya Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 759 kes diikuti Sarawak (445) dan Kelantan (442). Perlis pula menjadi negeri tunggal tanpa jangkitan hari ini, apabila mencatatkan sifar kes baharu Covid-19.
Terdapat tujuh hospital dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 277 katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 untuk negeri-negeri Lembah Klang dan daripada jumlah itu, sebanyak 152 katil kritikal dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.
“KKM memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata bagi tempoh 1 Jan 2021 hingga hari ini (1 Mei), kadar insiden kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk ialah sebanyak 872. Tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden kes tertinggi ialah Kuala Lumpur (1,583), diikuti Selangor (1,486) dan Putrajaya (1,140).
Nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) terkini Malaysia ialah 1.14 manakala nilai Rt Selangor (1.20), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0). Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0, kata Dr Noor Hisham. – Bernama, 1 Mei, 2021.
Komen