MEREKA yang tiba di Australia dari India akan berdepan hukuman penjara lima tahun apabila kerajaan mengumumkan sekatan perjalanan dalam usaha mencegah wabak penularan Covid-19.
Bermula Isnin ini, mana-mana pengembara yang memasuki Australia selepas berada di India dalam tempoh 14 hari sebelum itu boleh dihukum denda dan penjara sebagai tambahan kepada sekatan sementara pada awal minggu ini, yang mana akan berkuatkuasa sekurang-kurangnya sehingga 15 Mei depan.
Tindakan tegas itu diambil selepas pengembara dalam penerbangan langsung dari India mendedahkan kelemahan dalam usaha kerajaan menyekat sementara ketibaan dari negara Asia Selatan berkenaan.
Menteri Kesihatan Greg Hunt dalam satu kenyataan berkata kerajaan tidak melaksanakan keputusan itu dengan mudah.
“Bagaimanapun ia penting untuk kita melindungi integriti kesihatan awam dan sistem kuarantin di Australia selain mengurangkan angka kes Covid-19 di kemudahan kuarantin sehingga mencapai tahap boleh diuruskan,” katanya.
Pengumuman penguatkuasaan hukuman penjara kepada mereka yang melanggar sekatan perjalanan itu dilabel “keterlaluan” oleh Human Rights Watch.
Pengarah Human Rights Watch Australia Elaine Pearson berkata kerajaan perlu mencari langkang melaksanakan kuarantin secara selamat terhadap warga Australia yang pulang dari India, bukannya mengenakan hukuman penjara dan keras kepada mereka.
Semalam, kes harian di India meningkat kepada 385,000 – rekod global baharu – dengan hampir 3,500 kematian menurut data rasmi yang dikeluarkan.
Perdana Menteri Scott Morrison menolak permintaan untuk kapal terbang tempahan membawa pulang ribuan warga Australia yang berada di India termasuk pemain kriket berprofil tinggi.
Australia menutup sempadan antarabangsa untuk kebanyakan pengembara bukan rakyat negara ini manakala individu dibenarkan masuk pula diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari di hotel.
Negara itu yang mempunyai 25 juta penduduk merekodkan kurang 30,000 jangkitan dengan 910 kematian akibat Covid-19 selain tidak mencatat jangkitan besar sejak tahun lepas. – AFP, 1 Mei, 2021
Komen