VETERAN Umno Shahrir Samad kerajaan tidak akan menyiasat “katak politik”, seperti saranan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador, kerana ia sendiri terdiri daripada kalangan mereka yang melompat parti.
Dalam catatan di Facebook, Shahrir berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin menyiasat mengenai perkara itu kerana ia sendiri adalah kerajaan yang terdiri daripada “katak” atau mereka yang belot.
“MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang nak siasat? Ha. Ha.” katanya dalam hantaran tersebut.
Bekas ahli Parlimen itu menegaskan pendapatnya yang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan berdiam diri, merujuk kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang mempersoalkan tanggungjawab kerajaan semasa darurat beberapa hari lalu.
Sementara itu, semalam Hamid berkata SPRM harus menyiasat kes rasuah politik baru-baru ini, kerana para politikus banyak yang “melompat”.
Beliau berkata rasuah terlibat apabila ahli politik menukar parti secara bebas, dan menambah hal itu menjadi berleluasa kerana beberapa ahli politik “mabuk kuasa”.
Pada sidang sidang media terakhirnya di Bukit Aman, Hamid berkata beliau sudah memberitahu SPRM “mereka harus campur tangan dan bertindak”.
“It’s sickening (Memualkan). Sudah lama rakyat Malaysia muak tengok… sekejap katak lompat sana, sekejap katak berbunyi sana. Apa tu? Ada unsur apa tu? Rasuah tu.”
Katanya jika tidak ditangani, rasuah politik akan memberi kesan bahawa Malaysia tidak mempunyai undang-undang.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Julau Larry Sng, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar keluar daripada PKR untuk bekerjasama dengan kerajaan Muhyiddin.
Sementara itu, ahli Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) harus ditubuhkan untuk menyiasat pendedahan KPN yang menteri dalam negeri campur tangan dalam urusan polis.
Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata, tuduhan Hamid yang Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dicemari oleh unsur politik merosakkan kredibiliti pasukan tersebut.
“Jadi, satu RCI perlu dibentuk untuk menyiasat perkara ini,” kata Puad dalam satu kenyataan malam tadi. – 1 Mei, 2021.
Komen