PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat berkata ia menyenaraikan vaksin anti-Covid-19 Moderna sebagai penggunaan kecemasan.
Prosedur penyenaraian membantu negara yang tidak dapat menilai keberkesanan vaksin sendiri mendapat akses secepat mungkin dan membolehkan skim perkongsian vaksin Covax dan rakan kerjasama lain mengagihkannya ke negara miskin.
Vaksin Amerika Syarikat (AS) itu adalah yang kelima memperoleh senarai kecemasan WHO.
Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin Moderna pada 18 Disember 2020 dan kebenaran pemasaran yang sah di seluruh Kesatuan Eropah diberikan oleh Agensi Ubat Eropah pada 6 Januari 2021.
WHO berkata dalam satu kenyataan yang Kumpulan Ahli Strategi Penasihat Pakar Imunisasi (SAGE) mendapati vaksin Moderna mempunyai keberkesanan 94.1%.
Vaksin lain yang disenaraikan untuk penggunaan kecemasan oleh WHO adalah Pfizer BioNTech; AstraZeneca; Institut Serum India; dan Janssen.
Moderna pada Khamis berkata pihaknya akan menghasilkan hingga 3 bilion dos vaksin pada 2022 melalui komitmen pendanaan baharu bagi meningkatkan bekalan di lokasi pembuatan di Eropah dan AS. – AFP, 1 Mei, 2021
Komen