Persatuan sivil sokong KPN selar ahli politik campur tangan urusan polis


Alfian Z.M. Tahir

Abdul Hamid Bador pada sidang akhbar terakhirnya sebagai KPN hari ini berkata ahli politik perlu berhenti campur tangan perkara membabitkan pasukan polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 April, 2021.

KUMPULAN persatuan sivil menyokong Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador kerana berani secara terbuka mengkritik Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin kerana campur tangan urusan polis.

Dalam temu bual dengan pengarang di Bukit Aman hari ini, KPN berkata ahli politik perlu berhenti campur tangan perkara membabitkan pasukan polis.

Beliau mengulas kenyatan Hamzah terdahulu hari ini yang mengakui beliau pemilik suara dalam rakaman audio yang sedang berbincang tentang pelantikan KPN.

Kapten Dr Wong Ang Peng daripada Persatuan Patriot Kebangsaan memberitahu The Malaysian Insight walaupun Hamzah pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis, bukan beliau seorang yang membuat keputusan.

Beliau turut mengecam Hamzah, yang juga setiausaha agung Bersatu kerana merujuk pegawai kanan polis sebagai “budak-budak”.

“Anda kena hormat KPN. Beliau tahu anggotanya dalam pasukan lebih daripada anda tahu. Anda ahli politik, datang dan pergi. Hamid berada dalam pasukan polis lebih 30 tahun.

“Beliau tahu siapa yang hendak dilantik. Tidak sopan bila merujuk pegawai polis kanan sebagai ‘budak-budak’. Pegawai ini bukan budak-budak anda.

“Mereka ada disiplin sendiri dan bekerja untuk negara. Bukan untuk ahli politik.”

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia Sevan Doraisamy berkata dengan pengakuan Hamzah itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) lebih berminat untuk memegang kuasa, bukannya ketelusan.

“Hamzah jelas menunjukkan PN hanya mahukan kuasa, bukannya mengubah pasukan polis. Tidak sepatutnya seorang menteri kanan bersikap seperti itu,” kata Sevan. – 30 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen