M.S. Kasthuribai, ibu kepada seorang remaja S. Sathiswaran yang terbunuh selepas terkena kerusi yang dibaling dari tingkat atas rumah flet tiga tahun lalu, memfailkan saman sivil terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Beliau menamakan DBKL sebagai defendan pertama, Kementerian Wilayah Persekutuan defendan kedua dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat.
Kasthuribai dibantu oleh Pasukan Tindakan Sathiswaran yang ditubuhkan oleh aktivis Arun Doraisamy, dan peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal daripada Tetuan Raj & Sach. Permohonan itu difailkan di Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur secara maya.
“Kami memfailkan kes itu hari ini. Pada masa ini kami akan menunggu tarikh daripada mahkamah untuk sebutan kes,” kata Arun kepada The Malaysian Insight selepas sidang akhbar di Pantai Dalam Blok 102, di mana Sathiswaran terbunuh pada 15 Januari, 2018.
Arun pada sidang akhbar itu berkata perumahan kos rendah itu tidak diselenggarakan dengan baik, malah hingga sekarang, selain tahap keselamatan yang rendah.
“Kemalangan seperti ini boleh berlaku lagi pada masa depan jika tiada tindakan diambil.
“Pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan tahap hidup penduduk di sini dengan menambah baik ciri keselamatan dan penyelenggaraan, di mana ia adalah punca bencana yang berlaku,” kata Arun.
Pada 15 Januari 2018, Sathiswaran, seorang murid di SMK La Salle Brickfields di Kuala Lumpur, berada di tingkat bawah rumah pangsa PPR Seri Pantai bersama Kasthuribai ketika sebuah kerusi jatuh dari tingkat 21 rumah pangsa kos rendah dan menghempap kepalanya.
Sathiswaran yang ketika itu berusia 15 tahun meninggal dunia serta merta akibat cedera parah di kepala.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan namun keluarganya masih tidak tahu siapa yang menyebabkan kematiannya.
Tahun lalu, Kasthuribai menuntut pampasan sebanyak RM1 juta daripada DBKL atas kematian anaknya itu.
Dalam surat tuntutan yang diberi kepada DBKL oleh Tetuan Raj & Sach pada 26 Oktober, Kasthuribai mendakwa pihak berkuasa tempatan gagal dalam tanggungjawabnya untuk memastikan kebersihan dan keselamatan di kawasan awam flat PPR Seri Pantai, di Pantai Dalam, sehingga menyebabkan kematian anaknya.
“Kami diarahkan oleh anak guam kami untuk membuat tuntutan sebanyak RM1 juta akibat kematian anak kepada klien kami, disebabkan kelalaian DBKL.
“Berdasarkan bukti dan dokumen yang ada, kami mendapati kerusi itu berada di koridor tingkat 21, Blok 102 selama kira-kira satu bulan sebelum dibaling pada 15 Januari 2018,” menurut surat itu.
Tambah Arun, walaupun jaring keselamatan dipasang untuk mengurangkan risiko kemalangan barang dilempar dari tingkat atas, beliau berkata ini tidak dilakukan untuk semua PPR di seluruh bandar.
Katanya, ini hanya dilakukan di pangsapuri tertentu untuk mengawal keadaan ketika itu dan menenangkan penduduk setempat.
“Semua perbincangan mengenai jaring keselamatan hanya sekadar cakap manis untuk mengaburi masalah ini. Sebenarnya, tidak semua PPR ada jaring,” katanya.
Baru-baru ini, Kasthuribai mendedahkan beliau berasa dikhianati ahli politik kerana mengambil kesempatan dengan keadaannya dan tidak menunaikan janji kepadanya.
Di antara janji-janji itu, katanya beliau akan mendapat keadilan atas kematian anaknya dan rumah percuma di flat sama yang didiaminya sekarang. Bagaimanapun, semua ini hanya tinggal janji. – 30 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen