SEKUMPULAN petani sayur-sayuran di Chepor, Perak berdepan konflik apabila pihak berkuasa tempatan mengusir mereka dari tanah yang diusahakan selama 60 tahun bagi memberi jalan untuk projek pembangunan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka bersedia dipindahkan ke lokasi baharu yang ditawarkan oleh Jabatan Tanah dan Galian Perak (PTG) tetapi mereka memerlukan bukti bertulis sebelum mengemas dan meninggalkan kawasan itu.
Jika tidak, mereka tidak akan berganjak dan kini diganggu oleh pemaju, KM Majubina Sdn Bhd.
V. Kesavan, seorang aktivis dari Pemuda Sosialis Malaysia yang mewakili petani berkata, seorang wakil dari PTG memaklumkan kepada mereka bahawa kerajaan mahu menyewakan sebidang tanah kepada 122 petani di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan.
Di bawah perjanjian lisan, setiap petani akan diberi tanah seluas dua ekar yang disewa dari Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.
“Petani bersedia berpindah tetapi mereka tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai tawaran termasuk harga sewa, tempoh sewa bahkan lokasi sebenar tempat yang ditawarkan
“Semuanya dilakukan secara lisan. Tidak ada hitam dan putih yang akan memberi jaminan kepada petani,” katanya.
Beliau berkata petani dijadualkan mengadakan pertemuan dengan PTG hari ini (30 April) dan lawatan ke lokasi baharu pada 4 Mei.
Sementara itu katanya dalam masa tiga hari Kesavan mendakwa pemaju mengancam menghalau petani sebanyak dua kali, yang terbaru adalah pagi semalam.
Bagaimanapun pengusiran itu dihentikan buat sementara waktu selepas beberapa aktivis termasuk bekas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj bergegas ke kawasan itu.
Kesavan berkata pihak pemaju mendakwa pihaknya mengeluarkan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2017 dan petani perlu mengosongkan tanah tersebut dalam jangka waktu tertentu.
Dia bagaimanapun berkata, nama-nama yang tersenarai dalam perintah mahkamah bukanlah petani yang mengusahakan tanah tetapi petani yang mengusahakan di daerah lain.

Kesavan berkata petani juga mahu berhubung dengan pemaju dan PTG untuk berunding serta memahami secara adil tetapi mendakwa pemaju tidak akan datang.
“Kami mahu berjumpa dengan pemaju untuk meminta mereka tidak menimbulkan masalah tetapi hanya memberikan kami masa.
“Kenapa mereka perlu menggunakan samseng untuk menakut-nakutkan petani. Esok petani akan melakukan pertemuan dengan PTG dan lawatan ke lokasi pula minggu depan. Jadi beri mereka masa,” kata Kesavan sambil menambah bahawa pemaju enggan bertemu dengan petani apabila mereka ke pejabat semalam.
Kesavan berkata mereka sudah berjumpa dengan peguam bagi memohon penangguhan terhadap perintah pengusiran sementara keputusan dapat dibuat.
Salah seorang petani yang terjejas, Tan Tean Chee yang berusia 59 tahun berkata pemaju seharusnya tidak bertindak tergesa-gesa dengan menghantar orang untuk mengancam dan memaksa mereka pergi.
Tan bahkan mendakwa sebahagian harta benda mereka rosak ketika orang yang dilantik oleh pemaju menyerang ladang mereka.
Katanya, petani juga membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kuang mengenai kejadian yang didakwa.
Tan berkata mereka seharusnya meminta pertemuan di antara semua pihak berkaitan dibuat bagi menyelesaikan perkara itu secara damai.
“Ketika mereka masuk ke tanah berkenaan, mereka memecahkan paip air dan merosakkan pondok yang kami bina.
“Pemaju dan wakil dari pejabat tanah sepatutnya datang berbincang dengan kami sebelum melakukan tindakan tersebut.
“Kami sudi mendengar, berunding dan berpindah ke tempat baru yang ditawarkan dengan syarat tempat itu sesuai untuk bertani tetapi pada masa sama, beri kami masa. Kami tidak dapat melakukannya semalaman,” katanya.
Tan berkata majoriti petani di sana menanam jagung sebagai tanaman utama mereka sementara mereka juga mempunyai pokok pisang dan sayur-sayuran hijau.
Tan, yang mengaku sebagai petani generasi ketiga berkata pertanian adalah sumber pendapatannya.
PSM bersama Persatuan Petani dan Penternak Perak baru-baru ini melancarkan kempen “Jaga Tanah untuk Pertanian” meminta kerajaan menjaga dan melindungi kawasan pertanian yang menghasilkan makanan.
Mereka mahu undang-undang itu diubah bagi melindungi petani kecil dari kehilangan tanah pertanian mereka tanpa tanah pengganti yang akan memungkinkan mereka meneruskan kegiatan pertanian.
PSM berkata petani kecil di Perak tidak meminta pemberian hak milik tanah secara tetap tetapi hanya mahu diberi pajakan tanah untuk jangka masa 20 tahun sehingga mereka mempunyai keyakinan terhadap pelaburan dan usaha pertanian mereka. – 30 April, 2021.
Komen