VIETNAM mengesan empat kes varian Covid-19 yang dipercayai dalang kepada lonjakan virus yang dahsyat di India, kata media kerajaan pada Khamis.
Ia juga melaporkan penularan di kalangan komuniti yang pertama dalam beberapa minggu pada Khamis.
Vietnam setakat ini berjaya mengekalkan jumlah kes yang rendah - melaporkan 2,910 kes dengan dan 35 kematian - hasil kuarantin besar-besaran dan pengesanan kontak yang meluas.
Keempat-empat mereka yang dijangkiti varian B.1.617 Covid-19, yang pertama kali ditemui di India, baru-baru ini melakukan perjalanan dari negara Asia Selatan dan dikuarantin semasa tiba di Vietnam.
“Hasil jujukan genetik empat daripada lima pesakit Covid-19 yang tiba dari India menunjukkan mereka dijangkiti strain virus India,” kata akhbar Lao Dong pada Khamis.
Keputusan individu kelima yang diuji akan diketahui pada Jumaat.
Penemuan varian itu dikesan ketika lebih 1,000 orang di sebuah kampung di wilayah Ha Nam, dekat dengan Hanoi, dikenakan langkah pengurungan pada Khamis.
Seorang lelaki yang pulang ke kawasan itu dari Jepun menunjukkan positif Covid-19 minggu ini selepas 14 hari menjalani kuarantin dan menjangkiti virus itu kepada keluarganya, menurut kementerian kesihatan.
Sebanyak enam orang di kawasan itu, termasuk lelaki yang kembali dari Jepun didapati positif, kata kementerian itu.
Laporan media berkata jangkitan juga ditemui di Hanoi, Bandar Ho Chi Minh dan wilayah Hung Yen utara.
Penularan komuniti terakhir, yang berpusat di sekitar bandar utara Hai Duong, berjaya dibendung bulan lalu.
Bagaimanapun, negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas berlaku wabak di beberapa kawasan di Asia Tenggara termasuk Kemboja dan Laos, yang kedua-duanya mempunyai sempadan dengan Vietnam.
Vietnam memulakan cuti umum selama empat hari pada Jumaat dan tempat tumpuan utama percutian dijangka penuh sesak. – AFP, 30 April, 2021.
Komen