AS tingkat bantuan oksigen ke India


India sedang bergelut dengan pandemik walaupun merupakan pengeluar vaksin utama. – Gambar EPA, 30 April, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Khamis berkata akan menyegerakan bantuan kepada India dengan meningkatkan bekalan oksigen untuk pesakit Covid-19.

Sebuah pesawat tentera pertama yang dipenuhi bekalan kecemasan termasuk hampir 1 juta ujian segera dan 100,000 pelitup muka N95 tiba pada awal Jumaat di New Delhi, sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh White House bernilai lebih AS$100 juta sebagai sokongan.

Keutamaan utama adalah mencuba dan memenuhi keperluan segera bagi mengatasi beberapa cabaran akut di hospital mereka, kata Jeremy Konyndyk, pengarah eksekutif pasukan petugas Covid-19 di Agensi Pembangunan Antarabangsa AS.

AS sedang berunding dengan India untuk mengenal pasti bagaimana memperluaskan rantaian bekalan oksigen termasuk membangunkan teknologi menukar oksigen kelas industri untuk penggunaan perubatan serta memperbaiki cara mengangkutnya ke seluruh negara.

AS juga menjanjikan bantuan vaksin kepada India, tetapi Konyndyk berkata pemberian suntikan lebih kepada langkah jangka sederhana yang dihadapi dengan kes melambung tinggi di negara itu.

“Dalam waktu terdekat, tiada bekalan vaksin mencukupi di dunia, apalagi kemampuan untuk menggunakannya dengan segera bagi menangani lonjakan seperti ini,” katanya.

Pentadbiran Presiden Joe Biden berkata pada Isnin akan membenarkan 60 juta dos vaksin AstraZeneca ke luar negara, yang belum diluluskan untuk digunakan di AS.

Tetapi beberapa hari kemudian, AS belum memutuskan berapa banyak dos untuk dihantar ke India dan negara lain.

Konyndyk berkata ia masih memerlukan kelulusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan.

Sementara itu, pentadbiran Biden berkata ia menghantar bekalan ke India untuk menghasilkan lebih 20 juta dos Covishield, versi kos rendah AstraZeneca yang dibangunkan di India.

Biden berdepan kritikan daripada aktivis pembangunan kerana tidak berkongsi vaksin dengan lebih cepat ketika AS dijangka berdepan lambakan dos.

India - sedang bergelut dengan pandemik walaupun merupakan pengeluar vaksin utama - tidak berjaya mendesak AS agar melonggarkan undang-undang mengenai harta intelek bagi vaksin Covid. – AFP, 30 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen