KUALA LUMPUR dan Selangor masing-masing melaporkan kadar jangkitan Covid-19 tertinggi dalam setiap 100,000 orang sejak 1 Januari, menurut infografik Kementerian Kesihatan.
Kuala Lumpur dengan penduduk seramai 1.92 juta mempunyai kadar insiden sebanyak 1,554 dalam 100,000 orang.
Selangor, pernah menjadi kawasan khas Covid-19, mempunyai kadar insiden kedua tertinggi iaitu 1,456 setiap 100,000 penduduk.
Negeri ini mempunyai 6.81 juta penduduk.
Kadar insiden di seluruh negara adalah 853 untuk 100,000 orang. Penduduk Malaysia pada 2021 seramai 34.23 juta.
Sementara itu, Putrajaya, memiliki kadar insiden ketiga tertinggi di negara ini pada 1,135 walaupun mempunyai populasi terkecil dengan hanya 95,900 orang.
Kadar insiden merujuk kepada jumlah kes baharu berlaku dalam populasi dalam jangka waktu tertentu.
Perlis, mempunyai kadar insiden terendah pada 117.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan sedang menyegerakan usaha vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat
“Kita harus mempercepat vaksinasi di negeri ini kerana kadar jangkitan yang tinggi,” katanya dalam sidang media mingguan mengenai kempen vaksinasi hari ini.
Katanya, penting mempertimbangkan fakta yang Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan kawasan utama bagi kegiatan ekonomi dan perniagaan.
Imuniti kelompok dapat dicapai apabila 80% populasi negara menerima vaksin Covid-19.
Hari ini Malaysia melaporkan lebih 3,000 kes baharu Covid-19 untuk hari kedua berturut-turut, dengan Selangor sekali lagi mencatat kes paling tinggi.
Kementerian kesihatan mengesan 3,332 jangkitan dalam 24 jam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes negara 404,925.
Selangor mendahului negeri lain dengan 1,083 kes, diikuti Sarawak dan Kelantan masing-masing dengan 522 dan 401 kes. – 29 April, 2021.
Komen