Laporan polis dibuat terhadap pemilik Facebook siar video fitnah ketua biskop


Noel Achariam

Video yang disiarkan Hud Hud Crew mendakwa Ketua Biskop Julian Leow bercakap tentang perancangan 25 tahun untuk menentang orang Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2021.

SEBUAH pertubuhan masyarakat membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Hud Hud Crew kerana menyiarkan video berbaur hasutan yang menuduh Ketua Biskop Katolik Julian Leow sengaja mahu mengancam keharmonian antara orang Kristian dan Islam.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative (NSI) Andrian Pereira berkata kandungan laman Facebook Hud Hud Crew berbaur hasutan, fitnah dan menimbulkan salah faham bagi mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Mereka tidak sepatutnya mengapi-apikan pengikut agama lain,” kata Pereira kepada The Malaysian Insight.

“Saya membuat laporan ini kerana ucapan Leow tidak menghina mana-mana agama atau kaum,” katanya selepas membuat laporan di balai polis Petaling Jaya.

Beliau mengulas video Facebook di mana Leow menyampaikan khutbah di Gereja St Francis Xavier di Petaling Jaya, pada tahun 2014.

Video yang disiarkan Hud Hud Crew mendakwa Leow bercakap tentang perancangan 25 tahun untuk menentang orang Islam.

Video bertajuk “Rahsia Besar: Rakaman Perancangan 25 Tahun Archbishop Katolik Kuala Lumpur Untuk Rebus Orang Islam Seperti Merebus Katak”, mendakwa Leow menggunakan analogi  merebus katak sebagai perancangannya untuk menekan orang Islam di negara ini.

Hud Hud Crew mendakwa rakaman video ucapan Leow itu diserahkan kepada mereka oleh seorang ahli jemaah gereja yang tidak mahu dinamakan.

Dalam laporan polis, Pereira berkata komen daripada pemilik dan penulis laman Facebook itu berbaur ancaman, fitnah, amaran dan wujudkan permusuhan pelbagai kaum. – 29 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen