MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan pada malam tadi, umum pejabatnya.
Beliau akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapi oleh pihak Kementerian Kesihatan, kata kenyataan pejabat menteri.
“Buat masa ini, beliau sedang menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu kemasukan ke wad di hospital,” kata kenyataan itu.
Pegawai berkenaan juga mengesahkan Saifuddin tidak menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan majlis berbuka puasa Jemaah Menteri di Putrajaya semalam.
Pegawai di pejabat menteri turut mengesahkan Saifuddin belum menjalani vaksinasi.
“Beliau menunggu untuk divaksin bersama dengan pengamal media,” kata pegawainya.
Pada 21 Mac lalu, Saifuddin dilapor berkata beliau sudah mendaftar untuk suntikan vaksin Sinovac tetapi menangguhkan suntikan dos pertama kerana mahu melakukannya bersama pengamal media.
Beliau juga pada masa sama meminta supaya pengamal media diberi keutamaan untuk pemberian vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Saya menangguhkan suntikan vaksin kerana saya mahu terima vaksin bersama dengan pengamal media.
“Tunggu giliranlah sama-sama maknanya, bila saya terima suntikan itu, pengamal media pun akan dapatlah,” katanya.
Kenyataan pejabat menteri turut memaklumkan Saifuddin akan terus memantau dan memastikan segala urusan kementerian berjalan dengan lancar.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul. – 29 April, 2021.
Komen