Hospital swasta kekurangan katil untuk pesakit Covid-19


HOSPITAL swasta kekurangan katil selepas lonjakan jumlah pesakit Covid-19 sejak dua minggu lalu, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya Dr Kuljit Singh dalam satu kenyataan hari ini berkata hospital swasta turut mengalami masalah kekangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun, sejak 14 hari lalu terdapat peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di hospital swasta, menyebabkan katil untuk wad Covid-19 penuh malah katil di unit rawatan rapi (ICU) juga penuh,” katanya.

“Baru-baru ini kebanyakan hospital swasta, terutama di Lembah Klang, tidak dapat menerima pesakit Covid-19 lagi.

“Hospital swasta dibatasi oleh jumlah katil dan kemudahan ICU yang dapat menampung pesakit Covid-19 dan ketersediaan pakar dan jururawat yang semakin terbatas.”

Dr Kuljit berkata beliau sedar kemudahan kesihatan kerajaan di Lembah Klang dan Johor juga semakin penuh dengan peningkatan pesakit.

“Kebimbangan terbesar adalah sekiranya sistem penjagaan kesihatan lumpuh kerana ketiadaan katil dan rawatan oksigen untuk rakyat kita,” katanya.

APHM mencadangkan kerajaan membawa pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi memberi ruang kepada kemudahan kesihatan kerajaan, dan menambah ini boeh dilakukan dengan kos yang dipersetujui dan perlu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Hospital swasta telah banyak membantu kerajaan dalam menguruskan bersama pandemik dalam banyak cara.

“Kami menjalankan ujian saringan Covid-19 menggunakan Rapid dan RTK-PCR, menyediakan alat bantuan pernafasan kepada hospital kerajaan, menawarkan slot dialisis dan buat masa ini memvaksin pekerja kesihatan swasta dan tidak lama lagi orang awam,” kata Dr Kuljit.

“Selain itu, hospital swasta telah membantu kerajaan dalam pendaftaran Program Imunisasi Kebangsaan dan menyediakan maklumat menegai vaksin Covid-19 kepada pesakit.”

Dr Kuljit berharap orang ramai memandang serius masalah kekurangan katil dan memberi tanggungjawab sepenuhnya untuk mengekang penularan virus dengan mematuhi semua langkah pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP).

Malaysia menyaksikan lonjakan kes aktif sejak 7 April lalu.

Setakat semalam, 26,719 kes aktif di negara ini yang memerlukan rawatan.

Malaysia semalam melaporkan 3,142 kes jangkitan baharu yang merupakan pertama kali sejak 24 Februari ketika jumlah kes di negara ini melepasi 400,00 manakala 12 kluster baharu Covid-19 turut dikesan. – 29 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen