BERJAUHAN dari anak lelakinya sejak hujung 2019 ekoran sekatan pergerakan bagi membendung pandemik Covid-19 memberi ilham kepada Dr Nick Boden untuk membangunkan satu aplikasi pasport kesihatan.
Immunitee adalah aplikasi digital yang direka untuk menyimpan rekod imunisasi peribadi dan data vaksin pengguna.
Ia membantu memudahkan proses pemeriksaan pengguna di sempadan, memastikan perlidungan data dan keselamatan menerusi blockchain, serta mengesahkan ketulenan ujian dan vaksin Covid-19.
“Apabila gelembung perjalan dibuka, orang ramai tidak hanya akan berkongsi maklumat biometrik mereka, tetapi juga maklumat penjagaan kesihatan.
“Sudah ada banyak sijil palsu, baik ujian calitan (Covid-19) ataupun sijil vaksin.
“Jadi, kami mahu melindungi data dari makmal kepada blockchain pengguna, di mana tiada orang lain dapat mengaksesnya, meminda dan menjual maklumat.
“Kami berpendapat orang ramai perlu diyakinkan bahawa maklumat penjagaan kesihatan mereka tersimpan dengan selamat dengan blockchain,” kata Boden kepada The Malaysian Insight. Beliau yang berasal dari Afrika Selatan sudah 18 tahun menetap di Malaysia.
Selain profesionnya dalam bidang kesihatan, kerinduan terhadap anak lelakinya yang terpisah sejak 18 bulan lalu menguatkan lagi azamnya untuk mereka Immunitee, kata Boden ketika menjelaskan lanjut idea membangunkan aplikasi digital itu.
“Saya ada anak lelaki berusia 12 tahun di Afrika Selatan, dan kami tidak berjumpa sejak Disember 2019 disebabkan sekatan pergerakan dan varian baharu di sana.
“Anak saya warga Malaysia dan bersekolah di Afrika Selatan. Jadi, saya berfikir bagaimana untuk berjumpa semula anak saya semasa harijadinya, Krismas.. dan lama-kelamaan saya tahu keadaan akan semakin sukar.
“Setiap negara mempunyai syarat dan kadar vaksinasi berbeza, dan kita perlu mencari jalan bagaimana untuk memastikan gelembung perjalanan dapat dilakukan dengan selamat,” katanya.

Immunitee Health Passport bekerjasama dengan Affinidi yang diasaskan oleh syarikat Temasek untuk menyediakan pasport kesihatan pertama diterima di Singapura, menerusi platform digital Unifier Affinidi.
Pada 10 April lalu, Immunitee mengesahkan penumpang langsung pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Singapura.
Dengan kerjasama bersama Qualitas Medical Group, penumpang terbabit melakukan ujian calitan RT-PCR di klinik Qualitas dan keputusannya disimpan terus ke dalam blockchain, seterusnya membolehkan kod QR dalam aplikasi Immunitee dapat dibaca dan diterima imigresen Singapura.
Boden berkata ia merupakan satu kejayaan penting, yang membuktikan bahawa perjalanan rentas sempadan boleh dilakukan dengan cepat dan selamat.
Apa yang lebih membanggakan, aplikasi Immunitee diterima di negara lain, katanya.
Bagaimanana Immunitee berfungsi?
Aplikasi ini sangat mudah digunakan, kata Boden, dengan pengguna hanya perlu memuat turun, mendaftar dan mendapatkan ‘kata kunci’ peribadi untuk mengakses blockchain serta menggunakannya semasa membuat perjalanan.
Menurutnya, mana-mana pihak berkuasa kerajaan dan organisasi lain termasuk sistem penjagaan kesihatan nasional, sistem imigresen, hotel, universiti dan sekolah hanya boleh mengakses maklumat dengan mengimbas kod QR.
Kod QR ini mengandungi semua maklumat ujian dan vaksinasi relevan dan hanya boleh dibuka menggunakan ’ kata kunci’ peribadi yang dimiliki pengguna. – 30 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen