KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti 12 kluster baharu Covid-19 termasuk satu berkait aktiviti keagamaan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata empat kluster berkait pendidikan dikesan, empat membabitkan komuniti, dua tempat kerja manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Kluster berkait aktiviti keagamaan iaitu Leboh Gambus di Klang, Selangor melaporkan 61 kes Covid-19.
Bagi kluster pendidikan - Melugu di Sarawak dan Madai di Sabah - kedua-duanya dikesan di institusi pendidikan KPM, dan masing-masing melaporkan 13 dan 30 kes.
Dua lagi kluster pendidikan ialah Layar Hujung di daerah Kuala Muda, Kedah melaporkan 23 kes dan Gombak Dua di Hulu Langat, Selangor dengan 19 kes.
Bagi empat kluster komuniti pula, semuanya dikesan melalui hasil saringan individu bergejala.
Empat kluster tersebut adalah Ulu Strass di Sarawak (25 kes); Jalan Maharajalela di Perak, Kuala Lumpur and Kedah (12kes ); Taman Wira di Johor (26kes ) dan Pintu Air Relau di Kedah (31 kes).
Selain itu, KKM juga mengesan dua kluster berkait tempat kerja iaitu Jalan Rimbunan di Kuala Lumpur dan Selangor (22 kes) serta Jalan Bakariah di Johor (10 kes).
Kluster Jalan Rimbunan melibatkan kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan, manakala kluster Jalan Bakariah melibatkan sebuah syarikat perladangan.
Akhir sekali, satu kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan di Klang, Selangor, melibatkan pekerja dan penghuni sebuah pusat jagaan warga emas yang terletak di Jalan Sekinchan, Pandamaran. Sebanyak 23 kes Covid-19 dikesan dalam kluster tersebut.
Dr Noor Hisham juga mengumumkan sembilan kluster diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif kini 370. – 28 April, 2021.
Komen