PIHAK berkuasa Sabah menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPS) di sebuah kampung di Tawau ekoran bantahan oleh penduduk.
Jurucakap kerajaan Sabah bagi usaha menangani Covid-19 Masidi Manjun berkata, lanjutan PKPD yang diumumkan semalam tidak akan dilaksana dan ditamatkan hari ini.
Menteri kerajaan tempatan Sabah itu berkata, keputusan itu berdasarkan penilaian risiko baharu oleh Kementerian Kesihatan.
Jelasnya, 23 penduduk didapati positif daripada 847 ujian Covid-19 dan keputusan ujian lain juga sudah diketahui.
Namun pusat kawalan bencana negeri akan terus memantau lokaliti tersebut untuk memastikan pandemik Covid-19 terkawal, katanya dalam satu kenyataan.
Sekumpulan 300 penduduk Kampung Pasir Putih itu berhimpun di pos kawalan pihak berkuasa bagi membantah lanjutan PKPD selepas terkurung hampir sebulan.
PKPD dikuatkuasa di kampung itu sejak 1 April dan lanjutan PKPD akan menyebabkan penduduk terkurung sehingga 12 Mei.
Seorang penduduk Sunarti Nordin, 43 memberitahu The Malaysian Insight bantahan secara aman itu dibuat selama sejam selepas berbuka puasa di pos kawalan pihak berkuasa di kampung itu.
Sambil menahan sebak, beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa ramai penduduk kampung termasuk dirinya hilang sumber pendapatan sejak PKPD dilaksana.
Ia melibatkan ramai penduduk bekerja sendiri dan yang tidak dapat keluar bekerja di bandar dan kini hanya meneruskan hidup dengan mengharapkan bantuan makanan dari saudara-mara.
“Saya buka kedai berniaga beg tangan barangan wanita di UTC Tawau Sabah, tapi sejak PKPD sudah sebulan saya tak dapat berniaga. Memang tidak ada pendapatan langsung.
“Tapi kami perlu bayar bil air, bil eletrik serta komitmen lain, bagi duit dekat anak sekolah jadi kalau tidak bekerja memang kami susah.
“Dan sekarang ini kami sekeluarga mengharapkan abang yang duduk di kampung lain hantar makanan kepada kami. Dia akan letak di pagar saja, tapi bukan selalu sebab dia kena bekerja juga.
“Sebab itu penduduk sangat marah bila dengar kerajaan mahu lanjutkan PKPD, sebab kami sudah terlalu lama keadaan begini kehidupan kami sangat terdesak,” katanya.
Ujarnya mereka hanya menerima bantuan sebanyak dua kali dari pihak berkuasa namun ia tidak mencukupi untuk menampung lima orang ahli keluarganya.
“Bantuan makanan kami dapat dua kali pertama kali diumumkan larangan PKPD, dan selepas dua minggu yang dilanjutkan. Tapi itu memang tak cukup dua tiga hari dah habis.
Tambah menyedihkan, perintah PKPD itu dikuatkuasa sewaktu umat Islam menjalani ibadah puasa dan ketika sambutan hari raya bakal menjelang, katanya.
“Dalam bulan puasa kita nak bersahur, dan bila PKPD dilanjutkan lagi dua minggu bagaimana persiapan kami nak beraya, nak beli baju raya anak memang tak adalah,” katanya.
Tambahnya, walaupun seorang wakil keluarga keluar ke bandar memberi barang keperluan, peraturan itu agak tidak masuk akal kerana tempoh dihadkan hanya tiga jam.
“Tiga jam yang diberi itu cukup ke? Penduduk kami ini rata-ratanya mana ada kenderaan. Kalau ke bandar kita akan naik bas. Perjalanan ke bandar ambil masa 30 minit.
“Tapi nak berjalan kaki dari rumah ke stesen bas dalam 20 minit kemudian tunggu bas pun masalah, masa tidak tepat pernah kami menunggu satu jam untuk bas datang,” katanya.
Oleh sebab itulah penduduk berang apabila kampung mereka dikenakan PKPD terlalu lama sedangkan mereka menerima maklumat kes positif Covid-19 sudah berkurangan.
“Hari itu kan ada penduduk yang buat protes di kampung lain. Tapi kami fikir buat apalah nak protes, tidak ada kami tunggu saja sebab fikir akan ditamatkan.
“Tapi bila dengar umum dilanjutkan memang kami sebak, menangis tidak tahu bagaimana nak teruskan kehidupan, untuk kerja,” katanya.
Ketua Kampung Baru Pasir Putih Rahman Suarli pula berkata beliau memahami sebab kira-kira 300 penduduk kampung itu berhimpun bagi membantah lanjutan PKPD.
Rahman berkata bantahan aman itu menuntut pihak berkuasa memberi kelonggaran dari semua segi memudahkan urusan harian.
“Protes itu kerana mereka tidak puas hati sebab PKPD ini sudah sebulan dan mahu disambung balik. Itu yang mereka sangat marah.
Kerana ia menjejaskan kehidupan, mereka tidak boleh bekerja. PKPD di kampung Baru Pasir Putih sudah terlalu lama walhal tempat lain sudah ditamatkan. Jadi itu yang kita tertanya-tanya,” katanya.
Ulasnya lagi, suara kebimbangan protes itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Tawau Christina Liew untuk dibawa kepada pihak berkuasa.
“Kita tunggu dalam sehari dua ini, sebab polis maklumkan bawakan hal ini kepada wakil rakyat.
“Wakil rakyat akan membawa suara kami dan cuba berunding kepada polis, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya boleh memberi kelonggaran kepada kami.”
Kampung Baru Pasir Putih dikenakan PKPD bermula 1 April hingga 14 April sebelum dilanjutkan lagi sehingga 28 April.
Semalam kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh PKPD di lokaliti itu selama dua minggu lagi bermula esok sehingga 12 Mei.
Ia berikutan rebakan jangkitan dari Kluster Kampung Baru Pasir Putih yang dikesan pada 27 Mac lalu, berpunca dari majlis kahwin.
Daripada 847 ujian saringan yang dijalankan di kampung itu, sebanyak 68 kes positif Covid-19 direkodkan dan keputusan 441 sampel saringan belum diperolehi.
Bantahan serupa dilancarkan sekumpulan penduduk kampung berhampiran, Kampung Muhibbah Raya pada Sabtu dengan membawa tuntutan sama.
Perhimpunan itu membawa kepada penahanan tujuh orang penduduk kampung dan aktivis. – 29 April, 2021.
Komen